KUCHING: Pesawat C-130H dari No 14 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sarawak terlibat dalam melaksanakan penghantaran vaksin dan peralatan perubatan dari Kuching, Sibu dan Bintulu ke Tawau, semalam.
TUDM Sarawak menerusi satu kenyataan memberitahu penghantaran vaksin tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat Sabah bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok iaitu 80 peratus rakyat di Negeri Di Bawah Bayu tersebut telah divaksin menjelang Oktober 2021.
“Pengambilan vaksin jenis Comirnaty merupakan sumbangan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sarawak kepada MKN Sabah. Ia bertujuan mencapai hasrat kerajaan dalam melaksanakan pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach di samping membantu mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan pedalaman seterusnya menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Kesemua vaksin dan peralatan perubatan ini telah dibekalkan oleh Pejabat Farmasi Bahagian Sibu dan antara barang-barang tersebut ialah enam karton picagari, dua karton vaksin, tiga karton suntikan natrium klorida dan dua karton kad vaksin,” menurut kenyataan tersebut.
Pesawat C-130H TUDM dikendalikan oleh Kapten Mohamad Zulkarnain Johari selaku juruterbang, Kapten Owi Wei Lunn selaku pembantu juruterbang dan dibantu oleh Kapten Muhammad Haikal Rasdi TUDM selaku navigator penerbangan.
“Pesawat C-130H TUDM telah terbang dari Lapangan Terbang Kuching pada 12.20 tengah hari dan selamat tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira 1.00 petang. Vaksin dan peralatan perubatan seterusnya selamat tiba di Lapangan Terbang Tawau pada 4.45 petang.
“Kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam membantu menjayakan program vaksinasi negara perlu diteruskan agar lebih ramai rakyat berjaya mendapat suntikan vaksin dalam mencapai imuniti kelompok,” tambah kenyataan tersebut.