Dua warga emas cedera dalam kemalangan di lampu isyarat Batu 1, Jalan Kelupu

Facebook
WhatsApp
KEMALANGAN jalan raya di lampu isyarat Batu 1, Jalan Kelupu, pagi tadi. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Dua warga emas cedera selepas motosikal Yamaha yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Bezza di lampu isyarat Batu 1, Jalan Kelupu, kira-kira 7.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, ketika kejadian, pemandu kereta berkenaan dalam perjalanan dari rumahnya di Bintangor menuju ke tempat kerja di Sarikei.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta bergerak selepas lampu isyarat bertukar hijau.

“Pada masa sama, sebuah motosikal yang datang dari arah Taman Bintang di sebelah kiri kereta tersebut terus bergerak sebelum berlaku perlanggaran,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun, penunggang motosikal yang merupakan lelaki warga emas tempatan berusia 73 tahun, mengalami kecederaan pada bahagian kaki kanan.

“Pembonceng motosikal, seorang wanita warga emas tempatan berusia 68 tahun, pula mengalami kecederaan pada dahi dan kaki kanan,” katanya.

Tansli berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Rule 17, LN 166/59,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas ketika melalui persimpangan.

“Pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas, memberi perhatian sepenuhnya ketika melalui persimpangan serta memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Oleh Earl Anek