SIBU: Sebahagian laluan trafik di perairan Batang Lassa, berhampiran Jeti Jambatan Muara Lassa, akan ditutup sementara pada 3 Oktober ini sempena Pertandingan Memancing Muara Lassa Daro Vol. 1 2026.
Pengawal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak menerusi kenyataannya hari ini memberitahu, penutupan laluan tersebut bermula 7.00 pagi hingga 4.00 petang, melibatkan kawasan yang dianggarkan dalam lingkungan satu kilometer dari zon pertandingan memancing yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.43 Daro.
Sehubungan itu, semua juragan kapal dan bot, pengguna sungai serta orang awam dinasihatkan supaya memperlahankan kelajuan dan meningkatkan tahap kewaspadaan ketika menghampiri kawasan berkenaan.
LSS turut menasihatkan masyarakat perkapalan dan pengguna sungai supaya mematuhi arahan yang diberikan oleh petugas sepanjang tempoh penutupan.
Langkah itu penting bagi memastikan keselamatan peserta pertandingan, pengguna sungai dan orang awam serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan juga diminta memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Sebarang kesulitan yang timbul akibat penutupan sementara berkenaan amat dikesali pihak LSS.
Oleh Akun Giman




