BINTULU: Kemudahan penyimpanan sejuk mungkin kelihatan kecil dalam kehidupan seharian, tetapi bagi komuniti yang tinggal di kawasan dengan akses elektrik terhad, kehadirannya membawa makna yang berbeza.
Di Kampung Labang, Sebauh, persoalan itu cuba dijawab menerusi SustFridge – Peti Sejuk Komuniti, kemudahan penyimpanan sejuk yang menggunakan tenaga solar dan dibangunkan khusus untuk kawasan yang berdepan keterbatasan bekalan elektrik.
Kemudahan berhampiran Klinik Kesihatan Kampung Labang itu menyediakan ruang penyimpanan sejuk beku untuk kegunaan penduduk dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Labang, sekali gus memperkenal satu pendekatan alternatif kepada penggunaan sistem penyejukan yang bergantung sepenuhnya kepada grid elektrik.

SustFridge dibangunkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), dengan kerjasama penyelidik dari Malaysia dan United Kingdom, sebagai sebahagian daripada Projek AURORA.
Di kawasan yang mempunyai bekalan elektrik stabil, sistem penyejukan lazimnya tidak menimbulkan persoalan besar. Namun, keadaan berbeza apabila kemudahan elektrik tidak sentiasa tersedia atau tiada sambungan grid.
Menurut Penyelidik Utama Projek SustFridge, Dr Hasila Jarimi, sistem penyejukan dipilih kerana penggunaannya memerlukan tenaga elektrik yang tinggi, manakala kawasan pedalaman pula mempunyai cabaran tersendiri dari segi akses kepada grid.
“Teknologi ini dipilih untuk didemonstrasikan di kawasan pedalaman, khususnya bagi mengatasi masalah kelemahan grid, serta kawasan yang tidak mempunyai rangkaian elektrik atau grid langsung,” katanya.
Projek itu dibiayai Foreign, Commonwealth & Development Office (FCDO), United Kingdom.
Di Labang, pendekatan berasaskan tenaga solar diterjemahkan dalam bentuk kemudahan yang boleh digunakan secara langsung oleh masyarakat.
Penyerahan simbolik makanan yang disimpan dalam SustFridge kepada lima rumah terpilih memperlihat fungsi kemudahan itu dalam konteks kehidupan sebenar yang mana ia bukan sekadar teknologi yang dipamerkan, tetapi ruang penyimpanan yang boleh dimanfaatkan komuniti.
Namun, nilai SustFridge tidak terhenti pada fungsi penyejukan.
Kampung Labang dan SK Labang menjadi lokasi pertama Projek AURORA-SustFridge, sekali gus menjadikan kemudahan itu sebahagian daripada persekitaran pembelajaran murid.
Program pengenalan teknologi yang berlangsung di Balai Raya Kampung Labang turut menampilkan pameran mini STEM bertemakan ‘Tenaga Hijau, Masa Depan Kita’ demonstrasi sistem penyejukan dan penggunaan bahan perubahan fasa (PCM).
Murid turut diperkenal kepada teknologi kembar digital yang membolehkan prestasi sistem dipantau secara digital.
Bagi Pengarah SERI UKM, Profesor Dr Norasikin Ahmad Ludin, pendekatan itu membuka ruang kepada murid dan guru untuk melihat hubungan antara tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.
Pendedahan sedemikian menjadikan SustFridge lebih daripada sebuah kemudahan penyimpanan. Ia menjadi contoh bagaimana teknologi yang biasanya dibincangkan dalam konteks penyelidikan dapat diperlihatkan secara nyata dalam persekitaran sekolah dan komuniti.
Bagi sesuatu teknologi yang diperkenal di kawasan pedalaman, keberkesanannya bukan hanya bergantung kepada keupayaan sistem tersebut.
Pengguna juga perlu memahami fungsi, cara penggunaan dan keperluan penyelenggaraannya.
Atas sebab itu, penglibatan pihak sekolah dan komuniti menjadi sebahagian daripada pelaksanaan SustFridge menerusi pemeteraian Nota Persefahaman (NoU) antara SERI UKM, Pejabat Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, SK Labang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Labang.
Menurut Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, Gani Egit, penyatuan pendidikan, teknologi, penyelidikan dan pengetahuan komuniti dapat membuka ruang kepada pembangunan sekolah luar bandar yang lebih berdaya tahan dan mampan.
Program berkenaan melibatkan kira-kira 71 peserta daripada lima sekolah pedalaman, Pejabat Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, JKKK dan komuniti setempat.
Program pengenalan mungkin berlangsung sehari, tetapi nilai sebenar SustFridge hanya dapat dilihat melalui penggunaannya selepas itu.
Adakah ruang penyimpanan tersebut dapat memenuhi keperluan penduduk? Adakah sistem dapat dikendalikan dan diselenggara dengan baik? Dan sejauh mana komuniti serta sekolah dapat memanfaatkannya secara berterusan?
Persoalan-persoalan itu penting dalam menilai potensi teknologi berkenaan untuk diperluas ke kawasan pedalaman lain.
Pengalaman Kampung Labang seterusnya boleh menjadi rujukan untuk memahami keperluan pengguna, cabaran operasi serta aspek penyelenggaraan sebelum pendekatan yang sama dipertimbangkan di lokasi lain.
SustFridge juga memperlihats satu perubahan kecil dalam cara penyelesaian teknologi boleh dirangka yang mana ia bukan dengan membawa sistem sedia ada ke kawasan pedalaman secara terus, tetapi menyesuaikannya dengan sumber yang tersedia di lokasi berkenaan.
Dalam hal ini, tenaga matahari menjadi sumber kepada kemudahan penyejukan, manakala sekolah dan komuniti menjadi sebahagian daripada ekosistem penggunaannya.
Bagi Kampung Labang, SustFridge mungkin bermula sebagai sebuah projek teknologi.
Namun, jika penggunaannya dapat dikekalkan dan manfaatnya benar-benar dirasai komuniti, kemudahan itu boleh menjadi contoh bagaimana tenaga boleh baharu, penyelidikan dan pendidikan diterjemahkan kepada penyelesaian yang dekat dengan keperluan kehidupan masyarakat pedalaman.
Oleh Carolyne Utih





