Eksklusif: Terdedah kepada skrin berlebihan, anak lebih mudah cakap bahasa asing daripada bahasa ibunda. Patut panik?

Facebook
WhatsApp
PENSYARAH Kanan Psikolinguistik, Dr. Zuraini Seruji dari Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Unimas.

KOTA SAMARAHAN: Anak berusia sekitar tiga hingga empat tahun mungkin memahami bahasa ibunda yang digunakan ibu bapa di rumah, tetapi lebih mudah menjawab dalam bahasa asing yang kerap didengar ketika menonton kandungan seperti YouTube.

Situasi itu boleh berlaku apabila anak memahami percakapan dalam bahasa ibunda, namun perkataan dalam bahasa lain lebih cepat muncul ketika dia mahu menjawab.

Sebagai contoh, keadaan itu boleh menjadi kebimbangan apabila anak mula bersekolah dan guru mendapati pertuturannya banyak dipengaruhi bahasa asing sehingga kurang fasih menggunakan bahasa kebangsaan ketika berkomunikasi di dalam kelas.

Namun, adakah keadaan itu bermakna anak mempunyai masalah bahasa atau ibu bapa perlu panik?

Menerusi sesi temu bual yang dikendalikan wartawan Utusan Sarawak, Masrin Affirah, persoalan itu dijawab Pensyarah Kanan Psikolinguistik, Dr. Zuraini Seruji dari Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Faham bahasa tidak semestinya boleh bercakap

Menjawab persoalan itu, Dr. Zuraini menjelaskan bahawa memahami bahasa dan menggunakannya ketika bercakap merupakan dua proses yang berbeza.

Katanya, kanak-kanak mungkin memahami hampir keseluruhan percakapan ibu bapa dalam bahasa ibunda, tetapi memilih bahasa lain ketika menjawab kerana bahasa itu lebih mudah dikeluarkan pada ketika tersebut.

“Untuk memahami bahasa, kanak-kanak perlu mengenal bunyi dan perkataan serta mengaitkannya dengan makna, manakala pertuturan memerlukan mereka mencari perkataan, membina ayat, menyebut dan mengawal pengeluaran bahasa.

“Perkataan dan struktur ayat yang lebih kerap didengar dan digunakan juga lebih mudah diingati apabila kanak-kanak mahu bercakap,” katanya.

Bahasa yang kerap digunakan lebih mudah keluar

Dalam persekitaran pelbagai bahasa, kanak-kanak membina sistem bahasa untuk menghubungkan bahasa yang mereka pelajari pada masa yang sama, termasuk bunyi, perkataan, struktur ayat dan makna.

Dr. Zuraini berkata, pengalaman bahasa kanak-kanak bukan hanya bergantung kepada jumlah bahasa yang didengar, tetapi turut dipengaruhi oleh siapa yang menggunakan bahasa itu, situasi, tujuan komunikasi dan sejauh mana mereka perlu menggunakannya.

“Mereka mungkin menggunakan bahasa Iban bersama datuk dan nenek, bahasa Melayu di sekolah serta bahasa Indonesia ketika menonton YouTube.

“Kanak-kanak cenderung memilih bahasa yang paling mudah dan aktif ketika mereka sedang memperoleh atau mempelajari bahasa.

“Justeru, jika bahasa Indonesia kerap didengar dan digunakan melalui YouTube, permainan atau perbualan, perkataan serta struktur ayat dalam bahasa itu boleh menjadi lebih mudah dikeluarkan ketika anak bercakap,” tambahnya.

Skrin juga boleh bantu perkembangan bahasa

Pada masa sama, Dr. Zuraini berkata, skrin juga boleh menjadi sumber input bahasa kepada kanak-kanak.

“Melalui kartun, video, permainan dan kandungan digital lain, mereka boleh mempelajari perkataan baharu, ungkapan, sebutan serta struktur ayat.

“Visual yang ditampilkan juga membantu kanak-kanak mengaitkan perkataan yang didengar dengan maksud atau situasi tertentu.

“Bagaimanapun, kesannya bergantung kepada kandungan yang ditonton, kesesuaian dengan usia serta tahap perhatian kanak-kanak,” jelasnya.

Tambahnya, pendedahan yang kerap kepada kandungan tertentu juga boleh menyebabkan kanak-kanak meniru bukan sahaja perkataan, malah intonasi, ungkapan, susunan ayat dan cara penyampaian.

Dua jam menonton tidak sama dengan dua jam berbual

Dr. Zuraini mengulas lanjut, pembelajaran melalui skrin berbeza daripada perbualan bersama ibu bapa kerana skrin bersifat satu hala, manakala komunikasi dengan manusia berlaku secara dua hala.

“Kanak-kanak boleh melihat reaksi orang yang bercakap dengannya, menunggu giliran, bertanya soalan, menjawab dan menyesuaikan bahasa berdasarkan respons yang diterima.

GAMBAR hiasan. Foto olahan AI

“Maka, dua jam menonton kandungan dalam sesuatu bahasa tidak semestinya memberikan pengalaman bahasa yang sama dengan dua jam berinteraksi secara aktif menggunakan bahasa itu,” ulasnya.

Campur bahasa bukan semestinya masalah

Dalam keluarga yang menggunakan beberapa bahasa, mencampurkan bahasa ketika bercakap merupakan perkara biasa.

Dr. Zuraini menjelaskan, keadaan itu tidak semestinya bermaksud kanak-kanak mempunyai masalah bahasa kerana mereka menggunakan beberapa sistem bahasa dalam konteks yang berbeza.

“Bagaimanapun, penggunaan bahasa perlu dilihat mengikut keadaan, terutama dalam situasi rasmi supaya penguasaan laras bahasa dan identiti bahasa terus berkembang,” tegasnya.

Bahasa ibunda perlu digunakan

Untuk memastikan bahasa ibunda terus dikuasai, pendedahan sahaja tidak mencukupi.

Dr. Zuraini menegaskan, ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak menggunakan bahasa berkenaan dalam komunikasi yang bermakna setiap hari.

“Jangan hanya memberikan pendedahan, tetapi berikan peluang kepada kanak-kanak untuk menggunakan bahasa itu dalam komunikasi yang mempunyai makna kepada mereka.

“Ia boleh dilakukan melalui perkara mudah seperti berbual ketika makan, bermain, bercerita, bertanya soalan atau melakukan aktiviti bersama keluarga,” ujarnya.

Ibu bapa tak perlu ‘lawan’ skrin

Pada masa sama, menurut Dr. Zuraini, ibu bapa tidak perlu melihat skrin sebagai sesuatu yang perlu dielakkan sepenuhnya.

Sebaliknya, kandungan yang ditonton boleh dijadikan peluang untuk berkomunikasi dengan anak.

Antaranya:

  • Berbual tentang kandungan – Tanya anak mengenai apa yang ditonton.
  • Minta anak ceritakan semula – Galakkan anak menggunakan bahasa yang mahu diperkukuhkan.
  • Gunakan bahasa dalam rutin harian – Berbual ketika makan, bermain, bercerita atau melakukan aktiviti bersama.
  • Wujudkan komunikasi dua hala – Susuli kandungan yang ditonton dengan soalan dan perbualan.

Dengan itu, anak mendapat peluang menggunakan bahasa yang dipelajari daripada skrin dalam komunikasi bersama keluarga.

Oleh Masrin Affirah