Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir mengungkapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang telah mengotakan janji kepada penjaja-penjaja kecil di Kabong.
Beliau berkata, sebanyak 70 gerai telah mula diagihkan secara berperingkat-peringkat kepada penjaja di Pusat Penjaja Kabong bagi kemudahan mereka menjalankan perniagaan harian.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terbukti mengotakan janji dengan menyalurkan peruntukan untuk membangunkan keperluan masyarakat setempat, meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti ekonomi serta membangunkan fasiliti untuk kegiatan riadah dan penglibatan komuniti bagi mengukuhkan perpaduan dan kerjasama.
“Saya juga mengucapkan penghargaan terima kasih kepada kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana beliau telah meluluskan projek ini sekali gus membuktikan kepedulian beliau kepada penduduk Kabong dalam merancakkan sumber ekonomi para penjaja di sini,” katanya pada Selasa lalu.
Pada Oktober tahun lalu, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais ketika melakukan lawatan rasmi ke Kabong telah mengumumkan Kerajaan Sarawak melalui MINTRED Sarawak telah meluluskan dua projek di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong yang berjumlah RM5.2 juta.
Peruntukan tersebut merangkumi mewujudkan Anjung Usahawan yang bakal menyediakan tempat untuk agensi kerajaan tempatan dan menjadi pusat penjualan hasil produk Kabong yang memperuntukkan kos berjumlah RM5 juta.
Manakala satu lagi projek iaitu Transformasi Usahawan Desa yang memerlukan peruntukan berjumlah RM200,000 dan semalam telah dizahirkan apabila gerai-gerai untuk penjaja kabong diagihkan.
Chee Kadir berkata, ini adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menggalakkan usahawan meluaskan pasaran produk mereka melalui platform digital.
“Hasrat itu juga sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk memastikan sektor ekonomi berskala kecil, sederhana dan besar terus dipacu untuk memperkasakan ekonomi Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu sekali lagi menegaskan, setiap projek rakyat yang dilaksanakan GPS telah dilihat sendiri oleh rakyat.
“GPS telah berterusan untuk mengotakan janji dan setiap projek rakyat yang telah dan sedang dilaksanakan GPS adalah bukti bahawa GPS sentiasa mengotakan janji.
“Kita Kerajaan Sarawak tak pernah tidak tunaikan janji yang dibuat, kita tunaikan demi kesejahteraan rakyat,” tegasnya.