Permohonan rayuan haji dibuka mulai 2 Oktober – TH

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan bagi mengerjakan ibadah haji musim 1448H/2027M menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI bermula 2 Oktober ini, lebih awal berbanding bagi musim haji lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata pembukaan rayuan lebih awal itu bagi memberi ruang kepada bakal jemaah membuat persediaan awal dari aspek kewangan, kesihatan, dan ilmu.

“Kadar bayaran haji yang ditetapkan kepada jemaah haji terpilih melalui proses rayuan adalah kos haji penuh iaitu RM33,300 bagi musim haji 1448H/2027M, bertepatan dengan konsep istito’ah dalam kewajipan menunaikan haji.

“Permohonan ini terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan sebanyak RM15,000 dalam akaun TH masing-masing,” katanya.

Mustakim berkata TH turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk kempen #menujuistitoah dan pelan Seruan Istito’ah bagi membantu pendeposit membuat persediaan haji secara berstruktur sejak awal. 

Pertimbangan rayuan luar giliran tahun haji semasa akan dinilai berdasarkan kriteria dan skor merit yang merangkumi tempoh pendaftaran, umur, purata baki simpanan akaun TH, simpanan berulang yang konsisten, kekerapan permohonan rayuan dan juga kekerapan kehadiran Kursus Asas Haji yang dikendalikan oleh TH.

Menurut kenyataan itu, TH turut memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah warga tua, dan pengiring jemaah Orang Kurang Upaya (OKU) yang terpilih bagi musim berkenaan.

“Kadar Bayaran Haji yang ditetapkan bagi jemaah yang berjaya dalam permohonan rayuan mahram atau pengiring adalah bersamaan dengan kadar yang ditetapkan kepada penerima tawaran haji giliran semasa yang diiringi pemohon rayuan mengikuti kumpulan B40, M40 atau T20.

“Bakal jemaah juga diingatkan supaya membuat persediaan kesihatan sewajarnya memandangkan kelulusan permohonan tertakluk kepada ujian saringan kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Bakal haji turut dinasihatkan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu ibadah haji secukupnya dengan menyertai Kursus Asas Haji anjuran TH di lebih 200 masjid seluruh negara bermula 25 Sept ini.

Maklumat, permohonan dan status rayuan haji boleh disemak menerusi aplikasi THiJARI atau www.thijari.com.my.

Bagi maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. – Bernama

Serian, Lundu catat IPU tidak sihat

KUCHING: Kualiti udara di kebanyakan kawasan Sarawak masih berada pada tahap sederhana setakat 4.00 petang ini, dengan IPD Serian (MCAQM) meningkat