KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, di sini, masih diteruskan dan dilaksanakan secara 24 jam, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.
Beliau berkata kawalan keselamatan itu disediakan sebaik sahaja pihak polis menerima pemakluman berkaitan perkara berkenaan dan masih diteruskan sehingga hari ini.
“Pihak kami bekalkan kawalan keselamatan daripada awal lagi bila pemakluman ini keluar dan masih lagi berterusan sehingga hari ini. 24 jam kita akan menunggu arahan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Fadil berkata penugasan kawalan keselamatan di kediaman berkenaan melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul serta IPK Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadil berkata kesinambungan kepimpinan Polis Kuala Lumpur diteruskan dengan pelantikan SAC Shaidatul Akmar Mohd Noor sebagai Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur.
Beliau berkata Cawangan Khas mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kestabilan ibu negara terus terpelihara, terutama dalam landskap keselamatan yang semakin dinamik. – Bernama





