BINTULU: Sarawak menyasarkan pembangunan kira-kira 14,000 hektar kawasan tanaman padi sebagai antara usaha memperkukuh sekuriti makanan serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan beras import.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata Sarawak mempunyai ruang untuk meningkatkan pengeluaran padi dan memainkan peranan lebih besar dalam memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
Menurutnya, isu sekuriti makanan semakin penting susulan perubahan iklim yang berpotensi menjejaskan pengeluaran makanan serta bekalan komoditi asas di peringkat global.
“Kalau kita tidak mengimport beras, apa yang kita hendak makan? Ini bermakna kita perlu mencari penyelesaian terhadap masalah bekalan beras,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2026 di Bintulu, hari ini.
Beliau berkata, usaha meningkatkan pengeluaran padi di Sarawak bukan sekadar melibatkan pembukaan kawasan tanaman baharu, sebaliknya perlu disokong penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti.
Katanya, beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk pembangunan tanaman padi, termasuk kira-kira 4,000 hektar di bawah Seksyen 7 dan 2,299 hektar lagi, selain kawasan sedia ada yang sesuai untuk penanaman padi.
“Namun, kita bukan sekadar mahu menanam padi, tetapi perlu menggunakan kaedah dan teknologi moden,” katanya.
Abang Johari berkata, penggunaan varieti padi hibrid berpotensi menghasilkan produktiviti lebih tinggi, manakala penyelidikan berkaitan padi saka turut dijalankan melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.
Katanya, percubaan penanaman padi saka di Baram menunjukkan perkembangan positif, dengan pendekatan berkenaan berpotensi membolehkan tanaman menghasilkan tuaian berulang dalam tempoh tertentu.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelidikan bagi menghasilkan varieti padi yang bukan sahaja mempunyai produktiviti tinggi, malah mempunyai ciri yang memenuhi keperluan pengguna.
“Ini bukan sekadar soal menanam padi, tetapi kita mahu menghasilkan padi yang berkualiti dan mempunyai nilai tambah,” katanya.
Menurutnya, penggunaan teknologi juga telah menunjukkan kemampuan meningkatkan hasil tanaman dengan ketara.
Sebagai contoh, katanya, pengeluaran padi di satu kawasan yang sebelum ini hanya sekitar 1.2 tan sehektar berjaya ditingkatkan kepada antara enam hingga lapan tan sehektar menerusi penggunaan teknologi dan kerjasama dengan institusi berkaitan.
“Dengan teknologi, kita boleh meningkatkan hasil dan pendapatan petani. Pasaran untuk beras juga sentiasa ada kerana semua orang makan nasi,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, sektor pertanian perlu dilihat sebagai satu bidang ekonomi dan perniagaan, bukannya pekerjaan tradisional semata-mata.
Katanya, penghasilan produk pertanian perlu disusuli dengan aktiviti pemprosesan bagi mewujudkan nilai tambah serta membangunkan keseluruhan rantaian nilai makanan.
“Pertanian bukan sekadar pekerjaan sebagai petani, tetapi merupakan satu sektor yang boleh membangunkan ekonomi melalui idea baharu, sains dan penambahan nilai sehingga menjadi satu perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan turut membuka peluang kepada golongan muda untuk menyertai sektor pertanian moden dengan memanfaatkan teknologi seperti dron, mesin dan robot.
Menurutnya, penggunaan teknologi berkenaan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia dalam menguruskan aktiviti pertanian, selain meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Abang Johari turut berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber semula jadi, termasuk sumber air yang boleh dimanfaatkan bagi membangunkan sistem pengairan di kawasan penanaman padi.
Katanya, pendekatan integrasi seperti menggabungkan aktiviti penanaman padi dengan penternakan ikan juga boleh diteroka bagi memaksimumkan penggunaan kawasan pertanian serta mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada komuniti.
Beliau berkata, semua usaha itu selari dengan aspirasi Sarawak untuk mempelbagaikan ekonomi serta memperkukuh sektor makanan sebagai salah satu bidang penting dalam pembangunan ekonomi negeri.
“Dengan penggunaan teknologi, inovasi dan kerjasama semua pihak, kita boleh mengubah sektor pertanian menjadi sektor ekonomi yang lebih maju dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak akan terus memberi perhatian kepada pembangunan pertanian, termasuk sektor padi, bagi memastikan usaha meningkatkan pengeluaran makanan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Oleh Faizah Muzidi





