KUCHING: Kira-kira 600 sekolah daif di Sarawak telah disiapkan setakat ini, namun pelaksanaan keseluruhan projek sekolah daif di negeri ini masih belum mencapai 50 peratus.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata kira-kira 1,200 sekolah dikenal pasti sebagai sekolah daif dan dikategorikan mengikut skala satu hingga tujuh, dengan kategori tujuh merupakan tahap paling kritikal.
Menurutnya, sebahagian sekolah yang dikenal pasti masih dalam proses pembinaan, manakala terdapat juga projek yang masih belum melalui proses tender semula, sekali gus mempengaruhi kadar pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan.
“Belum lagi sampai 50 peratus seperti yang saya katakan tadi. Ada yang masih dalam pembinaan sekarang dan ada juga yang masih belum ditender semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak (IFE) – Kemahiran dan Produktiviti Komuniti di Menara LCDA, The Isthmus, di sini, hari ini.
Sagah berkata, peruntukan RM1 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan bagi projek pembangunan semula sekolah daif di Sarawak sebelum ini telah digunakan sepenuhnya.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek berkenaan masih mengambil masa berikutan kekangan dari segi kapasiti pembinaan, termasuk keupayaan kontraktor untuk melaksanakan projek yang ditawarkan.
“Bukan tidak digunakan, kita telah menggunakannya sepenuhnya. Tetapi ia bergantung kepada kapasiti. Jabatan Kerja Raya (JKR) yang akan melaksanakan proses tender kepada kontraktor,” ujarnya.
Menurutnya, jumlah kontraktor yang tersedia di Sarawak serta keupayaan mereka untuk mengambil dan melaksanakan projek turut menjadi antara faktor yang mempengaruhi kelancaran pelaksanaan projek sekolah daif.
“Kadang-kadang kita perlu melihat berapa ramai kontraktor yang ada di Sarawak untuk melaksanakan kerja ini dan berapa ramai yang mengambil tawaran yang diberikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sagah berkata, Kerajaan Sarawak berharap Belanjawan 2027 dapat menyediakan peruntukan tambahan bagi meneruskan pembangunan dan pembaikan sekolah daif, selain membina sekolah baharu yang telah dimohon.
“Saya sentiasa mengharapkan banyak. Tetapi kadang-kadang hanya harapan besar, tidak menjadi. Jadi kita tidak tahu, tetapi kita berharap ada lebih banyak dana untuk pembinaan sekolah daif dan juga sekolah baharu yang telah kita mohon,” katanya.
Oleh Adele Rissa





