KOTA SAMARAHAN: Seramai hampir 20,000 penduduk daripada kira-kira 5,138 keluarga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Samarindah menerima bantuan bekalan makanan sejak hari kedua pelaksanaannya.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang ketika ditemui berkata, pelaksanaan PKPD di Taman Samarindah merupakan antara yang paling sukar dan terbesar dilaksanakan di Kota Samarahan.
“Pelaksanaan PKPD di Taman Samarindah merupakan yang terbesar di Kota Samarahan melibatkan lebih 5,000 keluarga atau hampir 20,000 orang dan sudah tentu kali ini merupakan PKPD yang sukar untuk dilaksanakan khususnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah Samarahan.
“Saya juga kerap berhubung dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana mengenai perkembangan terkini di Taman Samarindah sejak kita melaksanakan PKPD dan saya sangat bersyukur seterusnya dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh jawatankuasa pengurusan bencana.
“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah memainkan peranan yang terbaik sebagai sekretariat komuniti dalam membantu jawatankuasa pengurusan bencana mentadbir serta mengawal selia penduduk sepanjang PKPD ini Saya berharap usaha ini diteruskan dengan sebaiknya oleh wakil komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melawat Masjid Ar Riyadh Taman Samarindah.
Terdahulu, Rubiah telah menyampaikan sumbangan dan peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Pembangunan Taman Samarindah yang diwakili oleh Noh Sapri Hassan dan Jawatankuasa Rukun Tetangga yang diwakili oleh Jamain Mahmud.
Sumbangan dan peruntukan tersebut disalurkan bagi membolehkan jawatankuasa dalam komuniti untuk menggerakkan lebih ramai tenaga bagi membantu penugasan seperti pengagihan bantuan bekalan makanan.
Pada masa yang sama, beliau berharap dengan peruntukan tersebut jawatankuasa dalam komuniti dapat mengatur pasukan yang mantap serta dapat membantu penduduk yang kurang berkemampuan dan yang mempunyai keperluan khas tertentu.
Turut hadir, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Daan dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohammad Yaakob Morshidi.