KOTA SAMARAHAN: Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menawar program akademik baharu tahun ini iaitu Ijazah Sarjana Sains Komputer.
Naib Canselor UNIMAS, Professor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, program ini dirancang untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan untuk mengikuti kemajuan teknologi digital yang sentiasa berubah.
“Untuk terus relevan dan menjadi yang teratas, UNIMAS memperkenalkan program ini yang mana akan mendedah pelajar kepada topik penting seperti keselamatan siber, sains data dan kejuruteraan perisian canggih,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa ke-12 mengenai Teknologi Maklumat di Asia (CITA’21) secara maya, semalam.
Tema persidangan tahun ini adalah ‘Inspiring Technologies for Digital Inclusivity’.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pandemik Covid-19 telah menimbulkan gangguan global dan teknologi digital boleh menjadi penyelesaian terbaik sejauh ini.
“Namun, masih banyak tentangan yang harus dihadapi ketika menggerakkan teknologi digital untuk merespon krisis saat ini. Salah satu cabarannya ialah inklusiviti digital,” ujarnya.
Tambahnya, untuk terus berdaya saing, negara harus melakukan lompatan kuantum dalam penggunaan digital.
“Kita harus memimpin dan menunjukkan penyertaan penuh untuk menyokong inisiatif ini. Ini adalah satu-satunya cara untuk maju,” jelasnya.
Beliau yakin, UNIMAS akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan penyelidikan dan pengembangan teknologi digital selama bertahun-tahun akan datang.Â
Oleh NUR AIN OTSMAN