SARATOK: Program Hari Cuci Malaysia Peringkat Daerah Saratok menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran serta memupuk budaya gotong-royong dalam komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, program yang berlangsung serentak di seluruh negara itu mampu menyatukan masyarakat menerusi aktiviti kebersihan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Menurut beliau, penglibatan masyarakat dalam aktiviti seperti gotong-royong bukan sahaja membantu mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, malah dapat mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan penduduk.
“Program yang berlangsung serentak di seluruh negara ini menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan serta memupuk budaya gotong-royong dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Dewan Terbuka Sri Kalaka bagi menghadiri Program Hari Cuci Malaysia Peringkat Daerah Saratok, di sini semalam.
Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Saratok atas penganjuran program berkenaan serta komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran aktiviti tersebut.
“Terima kasih di atas penganjuran dan komitmen yang diberikan oleh Majlis Daerah Saratok dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan program ini,” katanya.
Program berkenaan diharap dapat terus menyemarakkan kesedaran mengenai tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan selain menjadikan amalan gotong-royong sebagai budaya berterusan dalam kehidupan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman





