ENGKILILI: Wanita di kawasan Engkilili diseru terus memperkukuh jati diri, keyakinan dan semangat kebersamaan bagi memainkan peranan lebih besar dalam keluarga, masyarakat serta pembangunan komuniti.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, Program Jati Diri Wanita Engkilili 2026 menjadi platform penting untuk mempererat hubungan silaturahim, selain membina keyakinan dalam kalangan wanita.
Menurut beliau, program anjuran Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) N.33 Engkilili yang membawa tema “Bersama Melangkah, Membina Jati” turut memperlihatkan komitmen wanita untuk terus bergerak seiring dalam memperkukuh komuniti setempat.
“Program ini menjadi ruang untuk memperkukuh semangat kebersamaan, mengeratkan silaturahim serta membina jati diri dan keyakinan dalam kalangan wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jati Diri Wanita Engkilili 2026 yang berlangsung di Wong Radau, Kampung Radau, di sini, semalam.
Roy turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Wanita PRS N.33 Engkilili atas usaha serta komitmen menganjurkan program berkenaan.


ROY Angau Gingkoi bergambar bersama peserta Program Jati Diri Wanita Engkilili 2026 di Wong Radau, Kampung Radau, Engkilili, semalam. Foto Roy Angau Gingkoi
Katanya, peranan wanita dalam keluarga, masyarakat dan pembangunan komuniti amat penting kerana golongan itu bukan sahaja menjadi penggerak pelbagai aktiviti kemasyarakatan, malah turut menjadi tonggak dalam membentuk keluarga dan masyarakat yang lebih kukuh.
“Peranan wanita dalam keluarga, masyarakat dan pembangunan komuniti amat penting, bukan sahaja sebagai penggerak aktiviti kemasyarakatan, malah sebagai tonggak yang sentiasa menyumbang kepada pembentukan keluarga dan masyarakat yang lebih kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wong Radau atas sambutan, kerjasama serta layanan baik yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Roy berkata, usaha memperkasa wanita perlu diteruskan melalui program yang mampu meningkatkan keyakinan diri, mengeratkan jaringan komuniti dan membuka ruang kepada golongan wanita untuk terus menyumbang secara aktif.
“Wanita hebat, komuniti kuat. Bersama melangkah, membina jati,” katanya.
Oleh Adi Safarman





