SIBU: Sebanyak lapan kenderaan pelbagai jenis disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi tiga operasi penguatkuasaan di sekitar bandar Sibu dan Jalan Oya Lama, semalam.
Operasi membabitkan Ops Extreme, Ops Luxury dan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) itu dilaksanakan Unit Operasi JPJ Sibu dengan memberi tumpuan terhadap pematuhan peraturan serta aspek keselamatan kenderaan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 124 kenderaan diperiksa dan beberapa kesalahan dikesan, termasuk penggunaan lampu HID/LED yang tidak mematuhi ketetapan, tidak memakai tali pinggang keledar serta nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi.



ANTARA motosikal yang disita JPJ Sibu dalam tiga operasi penguatkuasaan di sekitar bandar Sibu dan Jalan Oya Lama, semalam. Foto Facebook JPJ Sarawak
Pemeriksaan turut menemukan kesalahan lain melibatkan aspek teknikal kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
JPJ Sarawak berkata, lapan kenderaan kemudian disita atas kesalahan melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang telah tamat tempoh.
Tindakan sama turut dikenakan terhadap kenderaan yang mengalami pengubahsuaian ekstrem serta kenderaan yang dipandu Pemandu Warga Asing (Pewa) tanpa lesen memandu yang sah.


KENDERAAN DISITA…Anggota JPJ Sibu menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang disita dalam operasi penguatkuasaan di sekitar bandar Sibu dan Jalan Oya Lama, semalam. Foto Facebook JPJ Sarawak
Menurutnya, semua kesalahan yang dikesan serta tindakan sitaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
JPJ Sarawak dalam pada itu akan terus mempergiat operasi, rondaan dan pemantauan secara berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.



