MIRI: Longgokan sampah di sebuah bangunan hotel lama yang terbiar di Jalan Hokkien di sini terbakar malam tadi, namun api berjaya dipadamkan bomba dalam tempoh beberapa minit.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 8.32 malam sebelum lapan anggota BBP Miri dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada 8.41 malam, pasukan mendapati kebakaran hanya melibatkan sampah di bangunan hotel lama yang terbiar.
“Pasukan menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk memadam kebakaran dan operasi tamat pada jam 8.45 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Oleh Liong Chai Ling





