Taylor Swift pecah dua rekod Spotify dengan muzik baharu

Facebook
WhatsApp
BINTANG pop Taylor Swift

LONDON: Bintang pop Taylor Swift memecahkan dua rekod Spotify termasuk dinobatkan sebagai artis wanita paling banyak distrim dalam tempoh sehari bagi 2026 susulan pelancaran single baharu dan album edisi lanjutan, lapor PA Media/dpa.

Swift, 36, melancarkan lagu baharunya Patient Zero pada Jumaat yang menjadi lagu oleh artis wanita paling banyak distrim dalam tempoh sehari pada 2026, menurut platform penstriman muzik itu.

Beliau turut melancarkan empat lagu baharu menerusi Life Of A Showgirl: The Encore, sekali gus memecahkan rekod sebagai artis wanita paling banyak distrim dalam tempoh sehari tahun ini.

Ia merupakan muzik baharu pertamanya sejak berkahwin dengan bintang NFL Travis Kelce di Madison Square Garden, New York pada Julai, dengan penyanyi itu menjawab kritikan terhadap hubungan mereka menerusi satu daripada sebuah lagu baharunya, Cleveland! — bandar tempat Kelce dibesarkan.

Lagu lain dalam album itu termasuk Patient Zero, Pink Clouding dan Babylon.

Album edisi lanjutan itu menerima ulasan kurang positif daripada pengkritik, dengan The Telegraph, The Independent dan The Guardian masing-masing memberikan dua bintang. The Guardian menyifatkannya sebagai: “Ia seperti menyaksikan seorang penari barisan korus yang bercita-cita tinggi bermati-matian menonjolkan dirinya di bawah sinaran lampu untuk membuktikan bahawa dia layak mendapat kasih sayang kita.”

The Times of London pula memberikan empat bintang dan menyifatkan lagu baharu itu sebagai “peringatan bahawa apabila melibatkan keupayaan mengambil perincian bersifat catatan peribadi dan menjadikannya sesuai untuk arus perdana muzik pop, tiada siapa yang melakukannya dengan lebih baik.”

Lagu dalam edisi diperluas itu bukan baki daripada album asal yang dilancarkan pada 2025, sebaliknya ditulis selepas album berkenaan mencatat kejayaan.

Penyanyi itu akan menayangkan buat kali pertama video muzik baharu bagi lagunya Patient Zero, yang menampilkan pelakon Dakota Johnson dan Colin Farrell, pada majlis Anugerah Muzik Video MTV pada Ahad.

Swift turut akan diberi penghormatan pada majlis itu menerusi Anugerah Pengarah Artis MTV yang julung kali diperkenalkan bagi meraikan pemuzik yang mengarahkan video muzik mereka sendiri.

Pada awal tahun ini, Swift dinobatkan sebagai artis paling banyak distrim sepanjang zaman sejak platform muzik itu dilancarkan hampir 20 tahun lepas.

Pencapaian itu turut menambah deretan rekod yang dicipta Swift tahun ini selepas beliau mencipta sejarah sebagai wanita termuda yang dilantik sebagai anggota Songwriters Hall of Fame pada Jun. – Bernama