LONDON: Lapangan Terbang Catania di Sicily menggantung semua penerbangan masuk pada Sabtu selepas letusan baharu Gunung Etna menghasilkan kepulan abu setinggi kira-kira empat kilometer, menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Letusan itu menyebabkan amaran merah penerbangan dikeluarkan dan sektor ruang udara C1 ditutup, sekali gus memaksa lapangan terbang berkenaan mengenakan sekatan terhadap pendaratan dan pelepasan pesawat.
Lapangan Terbang Catania memaklumkan semua penerbangan masuk digantung sehingga 4.00 petang waktu tempatan pada 26 September berikutan abu gunung berapi dari Gunung Etna.
Sebelum penggantungan itu, lapangan terbang berkenaan mengurangkan kapasitinya kepada empat pendaratan sejam berbanding kadar biasa 12 pendaratan.
Sekurang-kurangnya 10 penerbangan kendalian ITA Airways dilencongkan sebelum penggantungan sepenuhnya dilaksanakan. Lima penerbangan dilencongkan ke Palermo, tiga ke Trapani dan dua ke Comiso. Sebuah penerbangan Volotea turut dilencongkan ke Comiso.
Unit Penyelarasan Operasi lapangan terbang itu kemudiannya menutup sektor C1, dengan mengenakan sekatan sepenuhnya terhadap pendaratan dan pelepasan pesawat.
Kepulan abu itu terhasil akibat aktiviti baharu di kawah timur laut Gunung Etna, menurut institut berkenaan. – Bernama





