LRA Engkilili 75 juta liter sehari jadi pemangkin kestabilan bekalan air Sri Aman

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Julaihi Narawi mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan bagi meninjau sendiri perkembangan semasa pelaksanaan projek strategik tersebut, semalam. Foto JBALB Sarawak

ENGKILILI: Usaha memperkukuh sistem bekalan air di Bahagian Sri Aman terus dipergiat menerusi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) yang baharu di Engkilili berkapasiti 75 juta liter sehari (JLH), yang kini sedang dalam fasa pelaksanaan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato’ Sri Julaihi Narawi, semalam mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan bagi meninjau perkembangan terkini projek strategik yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak itu.

Dalam lawatan tersebut, beliau menerima taklimat mengenai status dan kemajuan projek daripada Ketua Penolong Pengarah (Perancangan Korporat), Ir. Ts. Robert Heng Wei Kiong, sebelum meninjau sendiri kawasan pembinaan loji berkenaan.

Projek itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Sri Aman dan kawasan sekitar dengan meningkatkan kapasiti rawatan serta keupayaan sistem bekalan air bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat susulan pertumbuhan penduduk dan pembangunan kawasan.

Pembinaan loji baharu berkapasiti 75 juta liter sehari itu juga dilihat sebagai langkah penting dalam membantu menangani isu bekalan air yang telah lama dihadapi penduduk di kawasan berkenaan, selain meningkatkan kestabilan dan kebolehpercayaan sistem sedia ada.

DATO Sri Julaihi Narawi meninjau perkembangan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Engkilili yang berkapasiti 75 juta liter sehari (JLH), semalam. Foto JBALB Sarawak

Menurut JBALB Sarawak, pelaksanaan projek berkenaan memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dalam menyediakan kemudahan bekalan air yang lebih berkualiti, stabil dan mampan kepada rakyat.

JBALB Sarawak selaku agensi pelaksana akan terus memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan bagi merealisasikan matlamat memperluaskan liputan bekalan air serta meningkatkan keupayaan sistem secara menyeluruh.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, ADUN Engkilili Dr. Johnichal Rayong Ngipa dan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Datu Jafri Lias, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Ir. Awg Mohammad Fadillah Awang Redzuan serta Pemangku Pengarah JBALB Ir. Tamida Da’adi.

Oleh Adi Safarman