PANTU: Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan strategik di Sarawak dalam sektor tenaga, logistik, penerbangan, teknologi, kesihatan dan tenaga alternatif dijangka terus merancakkan ekonomi negeri serta membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya golongan muda.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, berkata pembangunan berterusan itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan dan kesalinghubungan, malah memberi ruang lebih luas kepada generasi muda untuk membina kerjaya serta masa depan di negeri sendiri.
“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan serta merancakkan ekonomi, malah berpotensi membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya generasi muda Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Program GEMA KEMAS Sri Aman yang berlangsung di Rumah Chuan Alam, Sungai Rian, Kampung Jaong, hari ini.
Menurut Doris, pencapaian dan kemajuan Sarawak memerlukan komitmen berterusan, perancangan rapi, kesinambungan dasar serta kepimpinan kerajaan Sarawak.
Pada masa sama, katanya, sokongan masyarakat dan penglibatan aktif semua pihak penting bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
“Dengan kerjasama semua pihak, Sarawak akan terus melangkah maju, memperkukuh daya saing dan membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Doris turut menjelaskan bahawa Program GEMA KEMAS merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh komuniti luar bandar menerusi aspek pendidikan, pembangunan sahsiah, peningkatan kemahiran, kesedaran serta kesejahteraan masyarakat.
Katanya, program seumpama itu mampu membantu meningkatkan keyakinan diri, memperkasa institusi keluarga serta mempersiapkan masyarakat untuk menghadapi perubahan dan cabaran semasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan syabas kepada KEMAS Sri Aman yang diketuai Haslinah Samsir atas komitmen serta kegigihan dalam menjayakan pelbagai program KEMAS untuk masyarakat di Bahagian Sri Aman.
Turut hadir Pegawai KEMAS Bahagian Sri Aman, Hazlinah Samsir; Penghulu Judi; Tuai Rumah Chuan Alam serta barisan tuai rumah dari sekitar Kampung Jaong dan Batang Strap.
Oleh Adi Safarman




