BETONG: Pembukaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi serta memperkukuh kesalinghubungan Bahagian Betong dengan kawasan lain di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kemudahan penerbangan itu berpotensi membawa perubahan besar kepada Betong, khususnya dari segi akses perhubungan, aktiviti ekonomi dan peluang pembangunan di kawasan sekitar.
Menurutnya, kewujudan STOLport Bebuling bukan sahaja melengkapkan jaringan perhubungan sedia ada, malah menyediakan pilihan baharu kepada penduduk serta pemain industri untuk bergerak antara Betong dan destinasi lain.
“Ini boleh menjadi ‘game changer’ kepada kawasan Betong. Kita mahu melihat bagaimana kemudahan ini dapat membawa perubahan kepada pembangunan kawasan ini.
“Apabila hubungan udara lebih baik, ia akan membuka lebih banyak peluang dan memudahkan pergerakan orang serta aktiviti ekonomi,” katanya ketika ditemu bual Khas Bersama TVS dalam Program Sarawakku Sayang di Kompleks Sukan Betong, di sini semalam.
Uggah berkata, pembangunan STOLport berkenaan perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana kemudahan itu berpotensi memberi limpahan kepada sektor pelancongan, perniagaan serta pembangunan kawasan luar bandar.
Katanya, kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap aspek keselamatan, keperluan operasi dan prosedur berkaitan sebelum STOLport berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk penerbangan komersial.
Beliau berkata, kemudahan tersebut turut berpotensi memperkukuh kedudukan Betong sebagai kawasan yang mempunyai akses perhubungan lebih baik, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan aktiviti masyarakat setempat.
STOLport Bebuling sebelum ini mencatatkan penerbangan percubaan pendaratan pada 18 September lalu menggunakan pesawat Beechcraft Super King Air B350 milik Skyways Sdn Bhd.
Langkah itu menjadi antara perkembangan penting ke arah merealisasikan kemudahan penerbangan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan pengangkutan udara di Sarawak.
Oleh Adi Safarman





