BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengajak masyarakat di Bahagian Betong dan kawasan sekitar hadir beramai-ramai memeriahkan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong.
Beliau berkata, program selama tiga hari itu bukan sahaja menyediakan pelbagai aktiviti menarik, malah menjadi platform untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan selain meneroka pelbagai produk serta hasil tempatan yang diketengahkan.
“Marilah kita sama-sama datang beramai-ramai memeriahkan SKS 2026. Banyak aktiviti, perkhidmatan dan tarikan disediakan sepanjang program ini untuk masyarakat,” katanya ketika menyantuni pengunjung dan peniaga pada hari pertama program, dekat sini semalam.
Dalam lawatan itu, Uggah turut meluangkan masa meninjau gerai-gerai jualan Betong Kitchen & Sales serta berinteraksi dengan para peniaga yang mengambil peluang mempromosikan produk dan hasil tempatan.
Menurutnya, penganjuran SKS turut membuka ruang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk, kemahiran dan potensi ekonomi mereka kepada masyarakat serta pengunjung dari luar Bahagian Betong.
“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk memperkenalkan produk dan hasil tempatan kepada pengunjung.
“Pada masa sama, kita mahu melihat lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan melalui penglibatan masyarakat dan usahawan tempatan,” katanya.
Uggah berkata, Betong mempunyai potensi besar untuk terus mengembangkan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian, produk tempatan dan pelancongan, dengan masyarakat yang aktif serta gigih dalam kegiatan ekonomi sebagai antara kekuatan utama kawasan itu.
“Kekuatan kita di Betong ialah masyarakat yang rajin bekerja dan aktif dalam kegiatan ekonomi, khususnya dalam sektor pertanian. Inilah yang menjadi kekuatan masyarakat kita dalam meningkatkan kualiti sosioekonomi setempat,” katanya.
Beliau turut menyempurnakan penyerahan sijil penyertaan kepada 15 peserta yang mengikuti Demonstrasi Anyaman Bakul sempena SKS 2026.
SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pagi tadi.
Antara tarikan yang disediakan termasuk pelbagai aktiviti, pameran serta perkhidmatan agensi kerajaan, selain e-Peraduan yang menawarkan sebuah Perodua Bezza 1.3X bernilai RM48,000 sebagai hadiah utama.
Dengan pelbagai pengisian menarik sepanjang tiga hari penganjuran, SKS 2026 dijangka menjadi tumpuan masyarakat setempat untuk bersama-sama menikmati program sambil menyokong produk dan hasil usahawan tempatan.
Oleh Adi Safarman





