1,062 peserta DUN Daro terima lesen B2

Facebook
WhatsApp
UNTUK KENANGAN... Dr Safiee merakam kenangan majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN N.43 Daro di Dewan Masyarakat Daro, hari ini.

DARO: Seramai 1,062 peserta Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN N.43 Daro berjaya memperoleh lesen masing-masing selepas menamatkan latihan dan ujian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan sasaran khususnya B40 dan berpendapatan rendah mendapatkan lesen motosikal secara sah.

Menurutnya, pemilikan lesen memandu bukan sahaja membolehkan peserta menggunakan motosikal secara sah, malah membuka peluang meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor logistik dan pengangkutan.

“Program ini merupakan satu langkah penting dan strategik kerana bukan sahaja membuka peluang kepada belia untuk mendapatkan lesen secara sah dan selamat, tetapi turut membantu melahirkan pemandu yang berdisiplin serta bertanggungjawab,” ujarnya.

MANFAATKAN SEBAIKNYA… Dr Safiee menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN N.43 Daro di Dewan Masyarakat Daro, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN N.43 Daro di Dewan Masyarakat Daro, hari ini.

Dr Safiee turut mengingatkan penerima lesen supaya tidak menyalahgunakan kemudahan berkenaan dengan terlibat dalam aktiviti samseng jalanan dan lumba haram.

Katanya, pemilikan lesen memandu merupakan satu bentuk kepercayaan dan tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Manfaatkanlah pemberian lesen ini untuk tujuan yang membawa kebaikan seperti pergi bekerja, mencari rezeki yang halal atau membawa ibu dan ayah ke hospital apabila mereka memerlukan rawatan.

“Jangan jadikan pemberian lesen ini sebagai punca kepada kemalangan dan penyesalan. Jadilah penunggang motosikal yang berdisiplin, berhemah dan matang dalam membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua penerima program berkenaan supaya menjadi contoh kepada masyarakat dengan mematuhi peraturan jalan raya dan mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika berada di jalan raya.

Dr Safiee berkata, usaha kerajaan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur, kempen keselamatan jalan raya, pendidikan lalu lintas serta program bantuan lesen perlu disokong dengan perubahan sikap dalam kalangan pengguna jalan raya.

Menurutnya, penguatkuasaan berterusan oleh agensi seperti JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga penting dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya kemalangan maut.

“Usaha itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” katanya.

Dr Safiee turut merakamkan penghargaan kepada JPJ Sarawak khususnya JPJ Cawangan Mukah, Pejabat Pusat Khidmat N.43 Daro, Pejabat Daerah Daro, Akademi Memandu Setia Sdn Bhd serta agensi kerajaan dan swasta yang terlibat menjayakan program berkenaan.

Oleh Akun Giman