BANGKOK: Pengarah filem legenda Malaysia Tan Sri L. Krishnan yang meninggal dunia dengan tenang di kediamannya di Chiang Mai semalam, mahukan upacara pengebumian yang ringkas tanpa istiadat yang panjang, menurut anaknya Lersak Chaiyanuvong.
Lersak, 43, berkata bapanya yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-104 pada 21 Oktober ini, sebelum ini pernah menyatakan hasrat supaya upacara pengebumiannya diadakan secara ringkas dan tidak rumit.
“Beliau mahu semuanya ringkas dan tidak rumit. Kami akan menempatkan jasadnya di Wat San Pa Sak dan mengadakan upacara pengebumian selama tiga hari hingga Ahad, sebelum upacara pembakaran mayat pada Isnin,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata upacara pembakaran mayat akan diadakan Isnin depan (28 September) di Wat San Pa Sak Vorraurai di Hang Dong, Chiang Mai.
Lersak berkata Krishnan meninggal dunia dengan tenang di rumah akibat faktor usia, dengan ditemani ahli keluarga termasuk isterinya Puan Sri Jarunee Phuangthong dan anak perempuan Narissara Hanchonnabot.
“Bapa saya tidak mempunyai sebarang penyakit dan meninggal dunia dengan tenang di rumah,” katanya.
Walaupun sudah lanjut usia, Lersak berkata bapanya masih menikmati aktiviti ringan termasuk membaca buku dan akhbar, menonton filem serta mendengar muzik bersama isterinya.
“Pada masa lapang, beliau juga gemar menggunakan iPad untuk menonton video YouTube. Ada kalanya ibu dan saya membawanya berjalan-jalan dengan kereta.
“Kami akan melakukan perjalanan dengan kereta dan kadangkala bermalam. Bapa saya juga menggemari makanan pedas dari selatan Thailand, khususnya hidangan seperti gaeng som (kari masam gaya selatan) dan petai goreng pedas (sataw),” katanya.
Lersak berkata ibunya sekali-sekala memasak makanan India untuk Krishnan, namun bapanya lebih menggemari hidangan pedas dari selatan Thailand.
Penerima Anugerah Merdeka 2016 itu merupakan antara perintis industri perfileman Melayu dan diiktiraf atas sumbangannya terhadap pembangunan industri perfileman moden Malaysia.
Dilahirkan di Madras, kini Chennai, Tamil Nadu, India pada 21 Oktober 1922, Krishnan berpindah bersama keluarganya ke Pulau Pinang dan membesar di negeri itu.
Beliau bersekolah di Bukit Mertajam High School dan memperoleh kelayakan Senior Cambridge pada 1941.
Menurut Anugerah Merdeka, Krishnan pernah bekerja sebagai penterjemah untuk tempoh singkat semasa pendudukan Jepun sebelum dihantar ke Madras oleh Tentera British pada 1946.
Beliau kemudian bekerja sebagai penolong pengarah filem di Kalairani Film sebelum berpindah ke Singapura pada 1949 dan menyertai Malay Film Productions milik Shaw Brothers di Jalan Ampas.
Krishnan memainkan peranan penting dalam perkembangan kerjaya perfileman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai pengarah dalam beberapa filem termasuk Bakti (1950), Takdir Ilahi (1950), Penghidupan (1951) dan Antara Senyum dan Tangis (1952).
Beliau kemudiannya antara seorang daripada pengarah yang berkhidmat di Merdeka Studio di Kuala Lumpur dan terus menyumbang kepada perkembangan industri perfileman Melayu. – Bernama





