MDEC, MINTRED bincang pembangunan infrastruktur digital Sarawak

Facebook
WhatsApp
DELEGASI MDEC bergambar bersama Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selepas kunjungan hormat dan perbincangan mengenai kerjasama pembangunan infrastruktur digital hari ini.

KUCHING: Pembangunan infrastruktur digital di Sarawak menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malsysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, hari ini.

Pertemuan itu membincangkan potensi kerjasama bagi mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk pembangunan pusat data dan industri semikonduktor di Sarawak, selain memastikan inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

Kedua-dua pihak turut memberi perhatian kepada keperluan memperkukuh infrastruktur digital, khususnya di kawasan luar bandar, bagi menyokong pertumbuhan inisiatif ekonomi digital.

Selain itu, potensi penubuhan pusat pemenuhan (fulfillment centre) turut dibincangkan bagi memperkukuh sektor e-dagang, khususnya dalam kawasan pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Pertemuan berkenaan turut menekankan kepentingan membangunkan rangka kerja digital yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperlancar aktiviti perdagangan dan logistik dalam rantau BIMP-EAGA.

Pertemuan itu turut disertai Eksekutif Kanan Pejabat Ekonomi Digital Serantau (RDEO) Malaysia Timur, Kimberly Wong; Pengarah RDEO, Raja Segaran; Ketua RDEO Malaysia Timur, Awang Sapri Awang Ahmad; dan Pengurus RDEO Malaysia Timur, Mohideen Abdul Kader.

Oleh Afiq Sallehi