ENGKILILI: Sambutan Perayaan Kuih Bulan bukan sahaja menjadi wadah meraikan warisan dan kebudayaan masyarakat, malah turut memperkukuh semangat kebersamaan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, penganjuran program sebegini amat penting dalam mengeratkan hubungan antara masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya lagi, sambutan perayaan tersebut mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama yang terus subur dalam kalangan masyarakat di kawasan Lubok Antu dan Engkilili.
“Terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan, sambutan dan kerjasama yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jamuan Makan Malam Perayaan Kuih Bulan anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Marup Atas dan JKKK Jelukong Mawang di Dewan Majlis Daerah Lubok Antu, Engkilili, semalam.
Dalam majlis berkenaan, Roy turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM15,000 kepada JKKK Marup Atas bagi menyokong keperluan serta aktiviti pembangunan komuniti setempat.
JKKK Jelukong Mawang pula menerima peruntukan sebanyak RM20,000, menjadikan keseluruhan sumbangan yang disalurkan kepada kedua-dua JKKK berjumlah RM35,000.
Peruntukan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan serta keperluan penduduk di kawasan masing-masing.
Roy turut berharap semangat kebersamaan, saling menghormati dan keharmonian yang dizahirkan menerusi sambutan Perayaan Kuih Bulan itu terus diperkukuh demi membina komuniti yang bersatu dan sejahtera.
Oleh Adi Safarman





