Kerjasama agensi, KMKK bantu rakyat selesaikan isu dokumentasi

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena penyerahan dokumen pengenalan diri anjuran Persatuan KMKK Bukit Begunan di Rumah Ramping, Klauh Dau, semalam. Foto ADUN Bukit Begunan

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha membantu rakyat, khususnya masyarakat luar bandar, menyelesaikan isu berkaitan dokumen pengenalan diri menerusi kerjasama erat antara agensi kerajaan, Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pemimpin masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, berkata kerjasama bersepadu semua pihak amat penting bagi memastikan rakyat yang berdepan masalah dokumentasi mendapat bimbingan dan bantuan menerusi saluran yang sewajarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan KMKK Bukit Begunan serta semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu penduduk di kawasan berkenaan mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Kerjasama pelbagai pihak amat penting supaya rakyat yang menghadapi masalah berkaitan dokumentasi dapat dibantu dan dibimbing melalui saluran yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena penyerahan dokumen pengenalan diri anjuran Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bukit Begunan di Rumah Ramping, Klauh Dau, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mong turut menjelaskan bahawa permohonan lantikan baharu Tuai Rumah dibuat berdasarkan proses serta panel pemilihan KMKK yang dipengerusikan oleh Residen Sri Aman.

Katanya, urusan berkaitan penambahan kuota Tuai Rumah pula merupakan bidang kuasa Kerajaan Sarawak.

“Penjelasan ini penting supaya masyarakat memahami proses serta bidang kuasa pihak yang terlibat dalam urusan pelantikan dan pentadbiran ketua masyarakat,” katanya.

Pada majlis sama, Mong mengumumkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM150,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Unggi, Klauh Tinting bagi tujuan menaik taraf prasarana rumah panjang berkenaan.

Selain itu, JKKK Rumah Ramping, Klauh, menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000, manakala Biro Wanita JKKK Rumah Ramping menerima peruntukan RM5,000.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Jabatan Premier Sarawak, Dr Petrus Basik, dalam ucapannya turut menerangkan peranan Kerajaan Sarawak dalam membantu menyelesaikan isu berkaitan dokumen pengenalan diri rakyat.

Beliau turut menyentuh komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan hak Sarawak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk usaha memastikan proses berkaitan tuntutan dan permohonan dokumen pengenalan diri dapat dipermudah, khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar.

Majlis berkenaan memperlihatkan usaha berterusan kerajaan dan kepimpinan tempatan dalam memastikan kebajikan rakyat, penyelesaian isu dokumentasi serta pembangunan prasarana masyarakat luar bandar terus diberi perhatian.

Turut hadir Ketua Pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara Bahagian Sri Aman Eric Douglas, Temenggong Leonard Libau, Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman Kaunselor Anthony Abell Chendan, barisan KMKK Bukit Begunan serta penduduk setempat.

Oleh Adi Safarman