Dua anggota BBP Lutong berpindah, tiga pegawai baharu sertai pasukan

Facebook
WhatsApp
KETUA BBP Lutong, Henry Jugah menyampaikan cenderamata kepada anggota PBB Mohd Izwan Denan yang akan meneruskan kerjayanya di sebuah syarikat.

MIRI: Dua anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong diraikan dalam majlis perpisahan sebelum meneruskan tugas di tempat baharu, semalam.

Majlis yang berlangsung di Bay Jentera BBP Lutong itu turut meraikan kehadiran tiga pegawai baharu yang menyertai pasukan di balai berkenaan.

Dua anggota yang berpindah ialah PBB Mohd Izwan Denan yang akan meneruskan kerjaya di sebuah syarikat, manakala PBB Claren Entri Undi berpindah ke Jabatan Perhutanan.

Ketua BBP Lutong, Henry Jugah, berkata perpindahan ke tempat baharu bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya menjadi permulaan kepada pengalaman, cabaran dan peluang baharu dalam kehidupan.

“Sepanjang kita bersama, banyak kenangan manis, suka dan duka yang telah kita lalui. Segala kerjasama, bantuan dan persahabatan yang terjalin akan sentiasa kami hargai dan kenang,” katanya.

UNTUK KENANGAN…Ketua BBP Lutong, Henry Jugah menyampaikan cenderamata kepada anggota PBB Claren Entri  Undi yang berpindah ke Jabatan Perhutanan.

Beliau berkata, walaupun selepas ini mereka mungkin tidak lagi dapat berjumpa sekerap dahulu, hubungan persahabatan yang telah dibina diharapkan tidak terputus begitu sahaja.

“Kami mendoakan agar sentiasa diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan terus berjaya di tempat baharu,” katanya.

Dalam pada itu, BBP Lutong turut mengalu-alukan kehadiran PBK I Syed Mohd Radzee Wan Ala, PBK I Amindra Lapiaman dan PBK I Ahmad Azmi Himran sebagai warga baharu di balai berkenaan.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada anggota yang berpindah serta acara pemotongan kek bagi meraikan anggota yang menyambut hari lahir pada September.

Oleh Liong Chai Ling