PEMBERIAN kesihatan daripada Allah SWT kepada manusia dikategorikan sebagai nikmat yang paling besar.
Ketika tubuh sihat, kita mampu melakukan pelbagai perkara seperti belajar, bekerja, beribadah, membantu keluarga dan menjalani kehidupan yang baik.
Namun, sering kali manusia tidak menyedari betapa besarnya nikmat kesihatan sehingga datangnya sakit.
Ketika badan mula lemah, pergerakan menjadi terbatas dan aktiviti harian terganggu, barulah seseorang menyedari bahawa nikmat kesihatan yang selama ini dianggap biasa sebenarnya merupakan satu anugerah terbesar dari Allah SWT.
Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan (atau rugi padanya) oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”(Riwayat Bukhari)
Islam mengajar umatnya supaya menghargai nikmat yang diberikan Allah SWT dan menggunakannya untuk perkara yang bermanfaat.
Kesihatan seharusnya dilihat sebagai satu tanggungjawab dan amanah, melebihi fungsinya yang sekadar membolehkan manusia menikmati kehidupan di dunia.
Oleh itu, menjaga kesihatan merupakan sebaahagian daripada usaha mensyukuri nikmat Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 7: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
Menghargai Kesihatan Sebelum Datangnya Sakit
Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya mengambil peluang daripada nikmat kesihatan sebelum ia hilang.
Sabda Baginda SAW: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim)
Hadis ini memberikan satu pengajaran yang sangat besar. Kesihatan yang dimiliki pada masa ini tidak semestinya akan kekal selama-lamanya.
Walaupun seseorang mampu bergerak aktif, bekerja, bersukan, dan beribadah dengan mudah pada hari ini, keadaan tersebut boleh berubah sekelip mata apabila Allah SWT menguji mereka dengan penyakit atau kelemahan fizikal.
Oleh yang demikian, penjagaan kesihatan seharusnya bermula sebelum datangnya penyakit. Langkah pencegahan yang optimum merangkumi amalan pemakanan seimbang, rehat yang secukupnya, senaman konsisten, menjaga kebersihan diri, serta melakukan saringan kesihatan secara berkala.
Islam sendiri menekankan kepentingan menjaga tubuh badan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya badanmu mempunyai hak ke atasmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walau bagaimanapun, Islam mendidik umatnya agar tidak melihat penyakit sebagai satu bentuk hukuman semata-mata.
Sebaliknya, ujian kesihatan merupakan peluang untuk meraih pahala dan pengampunan dosa sekiranya dihadapi dengan penuh kesabaran.
Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, sakit, kesedihan, gangguan, atau kegelisahan, bahkan duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapus dosa-dosanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justru itu, kesakitan yang dialami boleh menjadi asbab diampunkan dosa serta diangkat darjat seseorang di sisi Allah SWT. Di sebalik ujian sakit ini, tersirat pelbagai hikmah yang mendidik jiwa agar lebih sabar, memperkukuh keimanan, dan membersihkan diri daripada noda.
Pandangan Islam menempatkan sakit sebagai ruang untuk muhasabah diri, mensyukuri nikmat sihat, serta mendekatkan diri kepada Pencipta. Berkat kesabaran dan doa yang tulus, ujian yang dihadapi mampu menjadi pintu rahmat yang membawa keberkatan di dunia hingga ke akhirat.
Ulama besar dari kalangan para sahabat

SAIDINA Uthman bin Affan termasuk salah seorang ulama besar dari kalangan para sahabat Rasulullah SAW.
Selain daripada menghafal al-Quran, beliau juga termasuk di kalangan sahabat yang kerap mengeluarkan fatwa ketika zaman Rasulullah SAW.
Oleh sebab memiliki ilmu yang tinggi, maka beliau layak menjadi calon khalifah Islam.
Saidina Umar bin Al Khattab telah memasukkan Saidina Uthman bin Affan dalam senarai calon-calon khalifah antara sebabnya adalah kerana Saidina Uthman bin Affan memiliki ilmu yang tinggi di samping memiliki akhlak yang baik.
Ini kerana untuk menjadi khalifah Islam, seseorang itu mestilah faqih dengan Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW.
Al Qasim bin Muhammad berkata, “Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali memberi fatwa pada zaman Rasulullah.”
Manakala Sahl bin Abu Hathmah pula berkata, “Orang-orang yang biasa memberi fatwa pada zaman Rasulullah SAW terdiri daripada tiga orang Muhajirin dan tiga orang Ansar iaitu Umar, Uthman, Ali, (Muhajirin) Ubay bin Kaab, Mu’adz bin Jabal dan Zaid bin Thabit”. (Ansar)
Di samping itu, beliau juga sering memberi fatwa di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar. Ketika Saidina Umar menjadi khalifah, Saidina Umar hanya menetapkan beberapa orang sahabat sahaja yang layak memberi fatwa.
Antaranya ialah Saidina Uthman, Saidina Ali, Ubay bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit. Saidina Uthman bin Affan juga diriwayatkan sahabat yang paling faqih dalam manasik haji (kaedah melaksanakan haji mengikut Sunnah Rasulullah SAW).
Setelah beliau, orang yang faqih dalam manasik haji ialah Abdullah bin Umar.
Walaupun memiliki ilmu yang tinggi, namun Saidina Uthman bin Affan tidak banyak meriwayatkan hadith-hadis Rasulullah SAW.
Ini kerana beliau bimbang bahawa hafalannya terhadap hadis Rasulullah SAW tidak sempurna yang menyebabkan akan berlakunya kekurangan atau pertambahan pada hadis Rasulullah SAW.
Beliau sendiri pernah berkata, “Perkara yang menghalang aku untuk menyampaikan hadis dari Rasulullah SAW bukanlah kerana aku tidak memahami sunnah baginda.
“Akan tetapi kerana aku pernah mendengar baginda bersabda, “Barangsiapa yang mengatakan atas namaku sesuatu yang tidak pernah aku katakan, maka hendaklah dia bersiap-siap untuk menempatkan dirinya di neraka”.
Di samping itu, kesibukannya di dalam menguruskan negara juga menjadi faktor beliau tidak banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW.
Di zaman Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, beliau sibuk membantu kedua-dua khalifah ini menguruskan negara.
Kesibukannya itu bertambah apabila beliau sendiri mengetuai kerajaan Islam. Oleh yang demikian, Saidina Uthman bin Affan hanya meriwayatkan sekitar 146 buah hadis sahaja.
Beliau juga meriwayatkan hadith Rasulullah SAW dari Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
Oleh Hanzalah Azman





