Projek peluasan Kuil Tua Pek Kong bakal tambah tarikan pelancongan Sibu

Facebook
WhatsApp
SOON bersama pegawai jawatankuasa kuil lain melancarkan sambutan perayaan berkenaan secara bersama.

SIBU: Projek peluasan Kuil Eng Ann Teng Tua Peh Kong dijangka menambah satu lagi tarikan pelancongan di sini, sekali gus memperkukuh kedudukan kawasan berkenaan sebagai destinasi tumpuan pelawat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kuil, Soon Choon Kui berkata, kerja-kerja pembinaan termasuk pintu gerbang hiasan kini giat dijalankan bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual.

Menurutnya, projek berkenaan amat dinantikan oleh masyarakat Sibu dan dijangka menambah nilai kepada kawasan Kuil Tua Pek Kong sebagai antara lokasi tumpuan pelancongan di bandar ini.

“Para pekerja sedang berlumba dengan masa dan mereka turut memakai baju hujan ketika hujan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau Pesta Kuih Bulan di kuil berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, sambutan Pesta Kuih Bulan tahun ini turut menarik kehadiran orang ramai ke Kuil Eng Ann Teng Tua Peh Kong Sibu.

Soon berkata, pihak kuil menyediakan pelbagai program selama dua hari, termasuk persembahan nyanyian dan tarian bagi memeriahkan sambutan tahunan berkenaan.

Katanya, penganjuran itu bertujuan menyediakan ruang kepada masyarakat Sibu untuk berkumpul, berhibur dan menikmati suasana sambutan Pesta Kuih Bulan.

“Kami berharap masyarakat Sibu akan bersama-sama menyertai kami, berseronok dan meraikan sambutan ini sepanjang dua hari,” katanya.

Beliau berkata, pihak kuil turut menyediakan kuih bulan khas untuk diagihkan kepada orang ramai sepanjang sambutan berkenaan.

Menurutnya, penganjuran Pesta Kuih Bulan merupakan tradisi tahunan pihak kuil yang diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan tradisi dan kebudayaan masyarakat setempat.

Oleh Tarani Lanting