Kerjasama penduduk kunci kelancaran pembangunan luar bandar di Bukit Begunan

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah John Ricky, Kampung Pakit B, semalam. Foto ADUN Bukit Begunan

SIMANGGANG: Sebanyak RM239,000 peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) diluluskan bagi menyokong pembangunan serta kesejahteraan masyarakat di kawasan Pakit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, peruntukan itu disalurkan kepada beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita bagi membolehkan pelbagai keperluan dan aktiviti masyarakat dilaksanakan.

Daripada jumlah tersebut, JKKK Rumah John Ricky, Kampung Pakit B menerima RM15,000, manakala Biro Wanita Kampung Pakit B menerima RM5,000.

Turut diluluskan ialah RM200,000 melalui RTP bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih Rumah Panjang Kampung Pakit B, sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.

Sementara itu, JKKK Rumah Florence, Kampung Pakit Melaban menerima RM6,000 dan Biro Wanita Pakit Melaban menerima RM4,000.

Bagi Pakit A pula, JKKK Rumah Ambrose menerima RM6,000, manakala Biro Wanita Pakit A menerima RM3,000.

Mong berkata, semua peruntukan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan selain memenuhi keperluan penduduk di kawasan masing-masing.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penduduk Kampung Pakit atas sokongan yang diberikan selama ini, sambil menegaskan bahawa kerjasama antara wakil rakyat, masyarakat dan kerajaan amat penting dalam memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Setiap pembangunan yang datang memerlukan perancangan yang rapi, masa dan kerjasama yang kukuh antara wakil rakyat, penduduk kampung dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah John Ricky, Kampung Pakit B, di sini semalam.

Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Premier Sarawak, Datuk Bujang Helmi Hazemi, menggesa rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan supaya terus memberikan sokongan kepada wakil rakyat kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Premier Sarawak penting bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan, khususnya dalam memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Oleh Adi Safarman

Abang PM Anwar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi khabar duka mengenai pemergian abang kandungnya Idrus Ibrahim. Menerusi