Intervensi awal, kunci cegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir merasmikan Kem Eksplorasi Potensi Murid (EPM) Siri 2/2026 yang berlangsung di Dewan Pantai Tanjung Kembang, Kabong, hari ini. Foto ADUN Kabong

KABONG: Usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan memberi penekanan kepada intervensi awal melibatkan keluarga, sekolah serta agensi berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, kerjasama antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pihak sekolah dan keluarga amat penting bagi memastikan sebarang risiko penyalahgunaan dadah dapat dikenal pasti serta ditangani lebih awal.

Menurutnya, usaha pencegahan tidak seharusnya tertumpu kepada satu pendekatan sahaja, sebaliknya merangkumi pendidikan pencegahan, pemerkasaan komuniti, usaha menyekat kemasukan bekalan dadah, rawatan dan pemulihan serta pembentukan sistem sokongan kepulihan.

Beliau turut menarik perhatian terhadap perubahan trend penyalahgunaan bahan, khususnya kemunculan Bahan Psikoaktif Baharu (NPS) yang boleh disamarkan dalam pelbagai bentuk produk termasuk cecair atau peranti vape.

Sehubungan itu, Chee Kadir menggesa warga pendidik dan pelajar supaya terus bekerjasama dengan AADK serta agensi strategik lain bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah di sekolah dan institusi pendidikan.

“Pencegahan awalan perlu dimulakan di rumah dan juga di peringkat sekolah dengan menggerakkan program serta aktiviti antidadah yang mampu menghindarkan berlakunya masalah dadah, sosial dan jenayah dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kem Eksplorasi Potensi Murid (EPM) Siri 2/2026 yang berlangsung di Dewan Pantai Tanjung Kembang, Kabong, hari ini.

Kem yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Tanjung Kembang Lodge itu menjadi platform untuk memperkukuh pendidikan pencegahan dadah, selain membentuk jati diri dan gaya hidup sihat dalam kalangan murid.

Program anjuran AADK Negeri Sarawak dengan kerjasama JPNS dan PPD Saratok itu melibatkan murid daripada sekolah-sekolah terpilih.

Chee Kadir berkata, pelaksanaan Kem EPM memberi penekanan kepada tiga objektif utama, iaitu meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai bahaya serta kesan dadah, memupuk sikap dan amalan positif serta gaya hidup sihat, selain melaksanakan intervensi awal terhadap murid yang berisiko.

Beliau berharap program seumpama itu dapat memperkukuh kerjasama antara kepimpinan pendidikan, warga pendidik dan agensi berkaitan dalam membendung masalah dadah serta pelbagai bentuk gejala sosial dalam kalangan generasi muda.

Pada masa yang sama, program tersebut diharap dapat membantu melahirkan generasi pelajar bebas daripada dadah dan bahan terlarang, meningkatkan kempen serta publisiti antidadah di institusi pendidikan dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

“Semua pihak perlu lebih berani berkata ‘Tidak’ kepada dadah dan bersama-sama memainkan peranan menyelamatkan generasi muda daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AADK Negeri Sarawak, JPNS, PPD Saratok, pihak sekolah, para penceramah, urus setia serta semua peserta atas komitmen menjayakan program yang bermula Selasa lalu hingga hari ini.

Turut hadir Wakil Pengarah AADK Negeri Sarawak, Mohamed Izuan Abdul Rahman; Pegawai Sektor Pembangunan Murid JPNS, Dr. Abg Mohd Shukri Abg Muis; wakil Pegawai Daerah Kabong, Ahmad Sabree Salleh; serta wakil Pegawai Pendidikan Saratok, Zulkarnain Ahmad.

Oleh Adi Safarman

Abang PM Anwar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi khabar duka mengenai pemergian abang kandungnya Idrus Ibrahim. Menerusi