KUCHING: Kualiti udara di tiga kawasan di Sarawak masih berada pada tahap sangat tidak sihat setakat 5.00 petang ini, dengan Kanowit merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 216.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lubok Antu merekodkan bacaan 203, manakala Lundu mencatatkan 209, masing-masing berada pada tahap sangat tidak sihat.
Bagaimanapun, bacaan IPU di Serian menurun kepada 200 berbanding 211 pada 12.00 tengah hari, sekali gus berada pada paras tidak sihat.
Kuching turut merekodkan penurunan bacaan kepada 188, berbanding 193 pada tengah hari, manakala Samarahan mencatatkan 179 dan Tebedu 188.
Selain itu, Sri Aman merekodkan bacaan 172, Sarikei (157), Sibu (156), Kapit (133), Bintulu (162), Samalaju (155), Belaga (165) dan Betong (173), yang semuanya berada pada tahap tidak sihat.
Mukah (99), Miri (85), ILP Miri (80), Limbang (81), Lawas (72) dan Bario (70) pula berada pada tahap sederhana.
Berdasarkan skala IPU, bacaan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat dan boleh menjejaskan kesihatan awam.
Oleh Afiq Sallehi





