Tiga jalan utama Betong ditutup tiga hari sempena Program Sarawakku Sayang

Facebook
WhatsApp
KETUA Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek.

BETONG: Tiga jalan utama di Betong akan ditutup sementara selama tiga hari bermula esok bagi melancarkan penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Betong Tahun 2026.

Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata, penutupan jalan berkenaan akan dilaksanakan esok hingga Ahad ini, bermula 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran program serta keselamatan orang ramai sepanjang tempoh penganjuran.

“Tiga jalan yang terlibat ialah Jalan Pengarah Isak, Jalan Temenggong Datuk Montegrai dan Jalan Orang Kaya Pemanca Nanang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan kawasan parkir yang telah ditetapkan dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan atau sepanjang jalan yang terlibat dengan penutupan.

Polis turut meminta kerjasama pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan anggota bertugas serta papan tanda amaran yang ditempatkan di lokasi terbabit.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya bersabar dan berhati-hati sepanjang tempoh penutupan jalan demi memastikan keselamatan semua pihak.

Bagi mengurangkan kesesakan, pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Abang Masagus dan Jalan Kampung Baru Hulu, Betong, untuk menuju ke destinasi masing-masing.

Pihak polis memohon kerjasama orang ramai sepanjang tempoh penutupan berkenaan dan memaklumkan bahawa segala usaha tersebut dilaksanakan demi kelancaran Program Sarawakku Sayang serta keselamatan pengguna jalan raya.

Oleh Adi Safarman