IPU tidak sihat, acara Senamrobik, Betong Berekot dan Ngohet Sikai dibatalkan

Facebook
WhatsApp
NOTIS pembatalan acara Senamrobik, Betong Berekot dan Ngohet Sikai sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026. Foto Jawatankuasa Induk Program Sarawakku Sayang 2026.

BETONG: Acara Senamrobik, Betong Berekot dan Ngohet Sikai sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Betong yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini dibatalkan susulan keadaan jerebu yang masih berterusan.

Keputusan itu dibuat selepas pihak penganjur mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Betong berhubung keadaan semasa serta bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang masih berada pada tahap tidak sihat.

Menurut kenyataan penganjur, pembatalan berkenaan melibatkan acara luar yang membabitkan aktiviti fizikal berikutan keadaan jerebu yang boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan dan keselamatan peserta, petugas serta orang awam.

“Pihak penganjur mengambil langkah pencegahan ini demi menjaga kesejahteraan semua pihak yang terlibat serta memastikan aspek kesihatan dan keselamatan sentiasa diutamakan,” menurut kenyataan itu

Bagaimanapun, acara dan aktiviti lain sempena Program SKS 2026 Bahagian Betong akan diteruskan seperti yang telah dijadualkan.

Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa situasi semasa akan terus dipantau dan langkah sewajarnya akan diambil berdasarkan nasihat serta garis panduan pihak berkuasa berkaitan bagi menjamin kelancaran program.

Orang ramai, peserta dan pengunjung turut diminta memahami keputusan berkenaan sebagai langkah pencegahan bagi mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat.

Oleh Adi Safarman