LUNDU: Sebanyak 34 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lundu ditutup sementara berkuat kuasa serta-merta hari ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 8.00 pagi.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak berkata, jumlah itu membabitkan 31 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah, dengan keputusan dibuat berdasarkan bacaan IPU serta mengambil kira kesihatan dan keselamatan murid.
Sehubungan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut peruntukan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016 dan garis panduan berkaitan pengurusan PdP akibat bencana.
“Bagi sekolah-sekolah yang terletak berhampiran daerah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan murid,” menurut kenyataan JPN Sarawak hari ini.
Menurut kenyataan itu, sekiranya bacaan IPU menunjukkan trend penurunan kepada bawah 200, guru besar dan pengetua boleh mengambil tindakan bagi persediaan pembukaan semula sekolah.
Pihak sekolah turut diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan merujuk garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan kesihatan serta keselamatan murid ketika jerebu.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau perkembangan IPU melalui portal rasmi Jabatan Alam Sekitar menerusi Air Pollutant Index Management System (APIMS).
JPN Sarawak menegaskan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga institusi pendidikan sentiasa diberi perhatian.




