BANGKOK: Bintang rock kelahiran Phuket, Nene Royal, yang nama sebenarnya Rattikarn Amloy, dinobatkan sebagai juara America’s Got Talent (AGT) musim ke-21, sekali gus merealisasikan impian zaman kanak-kanaknya dan mencipta kejayaan bersejarah yang membanggakan rakyat Thailand.
Remaja berusia 16 tahun itu menjadi peserta Thailand pertama meraih gelaran juara AGT, sekali gus menerima pujian meluas selepas mengharungi perjalanan penuh bermakna menerusi persembahan vokal bertenaga, permainan gitar elektrik dan lagu-lagu rock klasik.
Nene Royal merupakan antara tiga peserta yang mara ke peringkat akhir, bersama ahli silap mata kad, Geno Ploeger, dan duo ahli silap mata dari Korea Selatan, Hundred Fingers.
Remaja Thailand itu kemudian diumumkan sebagai juara, menyebabkan beliau terharu sehingga terduduk di pentas sambil menitiskan air mata kegembiraan.
Pentas akhir AGT 2026 turut menampilkan kerjasama antara peserta akhir dengan tetamu istimewa, termasuk DJ terkenal dunia, Steve Aoki, yang membuat persembahan bersama robot Unitree.
DJ Goja turut bergabung dengan penghibur akrobatik, Veronika Goroshkova, untuk mempersembahkan lagu Skyfall.
Nene Royal mencipta antara detik paling menarik pada malam itu apabila membuat persembahan bersama kumpulan rock legenda, Linkin Park, menerusi lagu The Emptiness Machine, daripada album terbaharu kumpulan berkenaan, From Zero.
Linkin Park memberikan ruang kepada penyanyi muda itu untuk menjadi tumpuan dengan membenarkannya membuka persembahan menerusi rangkap pertama lagu berkenaan.
Nene memukau penonton dengan persembahan penuh yakin dan bertenaga, sekali gus menyerlahkan penguasaan pentas bertaraf profesional.
Sebaik sahaja lagu itu berakhir, penonton berdiri memberikan tepukan gemuruh sambil sorakan bergema, mewujudkan suasana yang lebih menyerupai konsert rock berbanding pentas akhir pertandingan bakat. – Agensi





