BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing, menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap siri serangan ke atas kedai serbaneka 24 jam di beberapa lokasi di Sarawak, termasuk insiden membabitkan objek yang disyaki bahan letupan atau mudah terbakar, pembakaran dan vandalisme.
Tiong, yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, berkata kes berkenaan perlu disiasat secara menyeluruh merangkumi beberapa daerah bagi menentukan sama ada insiden terbabit mempunyai kaitan antara satu sama lain, selain mengenal pasti bukan sahaja pelaku, malah pihak yang merancang atau mengarahkan serangan.
Insiden dilaporkan berlaku di Kuching, Sri Aman dan Bintulu, dengan premis daripada rangkaian kedai serbaneka yang sama menjadi sasaran dalam tempoh 24 jam.
Tiong berkata, kejadian itu membimbangkan, terutama apabila sebahagian insiden berlaku ketika terdapat orang di dalam premis.
“Mengetahui terdapat orang di dalam premis tetapi masih membaling objek berbahaya ke dalam kedai menunjukkan sikap tidak menghiraukan undang-undang dan nyawa manusia.
“Perbuatan seperti gangsterisme, menggunakan ugutan, pembakaran, keganasan dan tindakan yang membahayakan nyawa untuk mencapai sesuatu tujuan tidak boleh dibiarkan berkembang di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, polis perlu menyiasat sama ada serangan berulang terhadap rangkaian kedai yang sama mempunyai kaitan antara satu sama lain.
“Polis perlu menyiasat siapa yang merancang, siapa yang melaksanakan, mengapa kedai ini menjadi sasaran, sama ada terdapat pihak yang mengarahkan pelaku dan sama ada serangan itu melibatkan operasi yang terancang,” katanya.
Tiong turut menggesa polis menjejaki semua pihak yang terbabit dan menentukan sama ada terdapat unsur perancangan, arahan atau penglibatan kumpulan terancang.
Katanya, siasatan tidak seharusnya terhenti pada individu yang melakukan pembakaran atau serangan sekiranya terdapat bukti pihak lain merancang atau mengarahkan perbuatan berkenaan.
“Jika ada pihak yang merancang atau mengarahkan, dalang sebenar tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab,” katanya.
Tiong berkata, sebarang pertikaian atau dakwaan perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang dan bukan menerusi keganasan atau ugutan.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga ada nyawa terkorban sebelum mengambil tindakan,” katanya.
Oleh Carolyne Utih




