JKKK Poyut Kampung Cina santuni warga emas sempena Kuih Bulan

Facebook
WhatsApp
PRIHATIN… Penghulu Tie King Un menyampaikan sumbangan kepada Huong Shiaw Iuan, manakala Kapitan Tie Ching Ming menyerahkan sumbangan kepada Sim Teck Him di Rumah Orang Tua Marudi.

MARUDI: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Poyut Kampung Cina, Marudi, menyantuni dua penghuni Rumah Orang Tua Marudi menerusi kunjungan sempena sambutan perayaan Kuih Bulan, di sini, hari ini.

Seramai 10 ahli JKKK Poyut Kampung Cina menyertai kunjungan ke Rumah Orang Tua Marudi yang terletak di No. Pole ½, Jalan Sentosa Marudi.

Menurut Setiausaha JKKK Poyut Kampung Cina, Huang Nieng Sing, kunjungan itu bertujuan menyampaikan sumbangan makanan kering dan minuman kepada penghuni rumah berkenaan sempena sambutan perayaan Kuih Bulan.

Katanya, mereka turut menyampaikan sumbangan wang tunai berupa angpau kepada dua penghuni, iaitu Huong Shiaw Iuan, 62, dan Sim Teck Him, 67.

Sim berkata, beliau telah menghuni Rumah Orang Tua Marudi selama lima tahun, manakala Huong Shiaw Iuan telah menetap di situ selama tiga tahun.

Selain menyampaikan sumbangan, Huang berkata, ahli JKKK turut mengadakan aktiviti gotong-royong dengan membersihkan kawasan Rumah Orang Tua Marudi dan memotong rumput di sekitar premis berkenaan.

Katanya, aktiviti itu merupakan sebahagian daripada usaha JKKK untuk menyumbang kepada kebajikan penghuni serta memastikan persekitaran Rumah Orang Tua Marudi sentiasa bersih dan selesa.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Penghulu Tie King Un dan Kapitan Tie Ching Ming.

Oleh Jiku Juguong