Jerebu: Sekolah di Serian ditutup esok

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUCHING: Semua sekolah di Daerah Serian ditutup sementara esok, susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melepasi 201 malam ini.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan keputusan dibuat itu membabitkan 108 sekolah di daerah berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah,” menurut JPN Sarawak dalam kenyataan hari ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) kawasan Serian mencatat bacaan IPU 217 setakat 10.00 malam ini.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 menunjukan paras berbahaya. – Bernama