Tourism Malaysia lancar tiga produk pelancongan, tawar 118 pakej berasaskan pengalaman

Facebook
WhatsApp
KETUA Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berucap pada Pelancaran Pakej Pelancongan: Edu+ 2.0, Eatventure, Taste of Orchard di Saloma Kuala Lumpur, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia hari ini melancarkan tiga produk pelancongan iaitu Edu+ 2.0, EatVenture dan Taste of Orchard sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 hingga 2027, yang menawarkan 118 pakej serta itinerari berasaskan pengalaman bagi memperluas pilihan pelancongan domestik dan antarabangsa.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata ketiga-tiga produk itu menyasarkan kumpulan pelancong tertentu menerusi pengalaman yang menggabungkan elemen pendidikan, gastronomi, pertanian, budaya, alam semula jadi dan komuniti setempat.

Beliau berkata 118 pakej dan itinerari yang diperkenalkan itu merangkumi 29 pakej Edu+ 2.0, 23 pakej gastronomi EatVenture dan 66 pakej agropelancongan Taste of Orchard.

“Ketiga-tiga produk ini merupakan produk pasaran khusus yang menyasarkan kumpulan pelancong tertentu, sama ada domestik mahupun antarabangsa.

“Ia juga dilancarkan bagi menyahut seruan kerajaan untuk mempelbagaikan produk pelancongan supaya tidak tertumpu kepada produk tertentu sahaja,” katanya pada majlis pelancaran pakej pelancongan berkenaan di Saloma Kuala Lumpur, di sini.

KETUA Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim menunjukkan bahan promosi pada Pelancaran Pakej Pelancongan: Edu+ 2.0, Eatventure, Taste of Orchard di Saloma Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Zuraini Abdul Ghani dan Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI) Datuk Lau Wai Cheng. Foto Bernama

Mohd Amirul Rizal berkata kepelbagaian produk itu turut memberi peluang kepada pelancong yang pernah berkunjung ke Malaysia untuk meneroka pengalaman baharu pada kunjungan seterusnya, sekali gus mendorong mereka mengunjungi lebih banyak destinasi dan melanjutkan tempoh penginapan.

“Pakej yang ditawarkan menyajikan pengalaman pembelajaran menyeluruh… contohnya, program di farmstay bukan sekadar penginapan inap desa, malah memberi peluang kepada pelancong mempelajari ternakan ikan tilapia, pengurusan kebun durian serta menyaksikan demonstrasi penyediaan makanan tradisional dalam satu lokasi,” katanya.

Beliau berkata pakej Edu+ 2.0 memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mengikuti program jangka pendek yang bukan sahaja memperkenalkan budaya dan warisan Malaysia, malah mewujudkan pengalaman pertukaran budaya serta persefahaman yang bermakna.

Program pendidikan itu, katanya, dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI), dengan penglibatan institusi pendidikan, agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan serta pemain industri berkaitan.

EatVenture pula mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia melalui makanan, hidangan tempatan serta pengalaman berkaitan tradisi dan budaya makanan.

MOHD Amirul Rizal Abdul Rahim pada gimik pelancaran Pakej Pelancongan: Edu+ 2.0, Eatventure, Taste of Orchard di Saloma Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Zuraini Abdul Ghani dan Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI) Datuk Lau Wai Cheng. Foto Bernama

Sementara itu, Taste of Orchard memberi tumpuan kepada produk utama seperti durian, harum manis, koko, gula apong, empurau dan nanas, selain menawarkan pengalaman menerokai landskap pertanian seperti ladang durian, pendidikan agro, pelancongan berasaskan komuniti serta pengalaman di dusun.

Mohd Amirul Rizal berkata produk agropelancongan berkenaan berpotensi mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada komuniti tempatan, termasuk petani, pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pengusaha makanan, penggiat kraf serta perusahaan mikro dan kecil.

Maklumat mengenai pakej yang ditawarkan boleh diperoleh melalui platform promosi rasmi Tourism Malaysia. – Bernama