Sarawak perkukuh integriti sukan menjelang Sukan SEA 2027

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim pada sidang media Program Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026.

PETRA JAYA: Sarawak komited memperkukuh tadbir urus dan integriti dalam ekosistem sukan menerusi penganjuran Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 dari 28 hingga 30 September ini di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), di sini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata usaha itu penting bagi memastikan penganjuran acara sukan berskala besar dilaksanakan secara telus menjelang Sukan SEA 2027.

Katanya, penganjuran kejohanan berskala besar melibatkan perolehan bernilai tinggi, perbelanjaan besar serta penyelarasan pelbagai agensi, sekali gus memerlukan sistem integriti yang kukuh.

“Tanpa kawalan dan sistem integriti yang kukuh, ekosistem sukan berhadapan dengan pelbagai ancaman serius termasuk rasuah, manipulasi pertandingan, pertaruhan haram, penyalahgunaan dadah dan ketidakakuran tadbir urus,” katanya pada sidang media mengenai penganjuran SNSIC 2026 di Baitulmakmur 2, di sini hari ini.

SNSIC 2026 menampilkan persidangan peringkat tinggi pada 28 September sebelum diteruskan dengan bengkel teknikal selama dua hari pada 29 dan 30 September.

Abdul Karim berkata, persidangan itu dijangka menghimpunkan 400 hingga 500 delegasi, termasuk wakil Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) dan Persatuan Undang-Undang Sukan Malaysia.

Katanya, bengkel teknikal pula melibatkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada pegawai awam dalam bidang perolehan, perundangan dan penguatkuasaan serta pentadbir persatuan sukan.

“Melalui bengkel ini, para peserta akan didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran teknikal yang lebih praktikal dalam meneliti aspek perolehan awam, mengesan aktiviti pertaruhan haram serta mengendalikan kes manipulasi pertandingan,” katanya.

Abdul Karim berkata, Sarawak turut memastikan pengurusan perolehan dalam penganjuran acara dilakukan secara telus, termasuk pembentangan oleh pembekal yang perlu melalui jawatankuasa dan bukan secara terus kepadanya.

“Saya tidak akan benarkan pembentangan kepada saya oleh semua pembekal. Kalau mahu, perlu buat kepada jawatankuasa. Tiada secara terus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sukan turut menyumbang kepada ekonomi, pelancongan, pembangunan infrastruktur dan perpaduan rakyat, dengan Sarawak kini mempunyai lima acara maraton yang mendapat akreditasi Persatuan Maraton Antarabangsa dan Perlumbaan Jarak Jauh (AIMS).

Katanya, penganjuran acara sukan berskala besar turut membawa manfaat kepada sektor pelancongan apabila kehadiran pengunjung, penyokong dan kru meningkatkan permintaan terhadap penginapan, makanan serta aktiviti pelancongan.

Abdul Karim berkata, SNSIC 2026 diharap menjadi platform berterusan untuk perkongsian amalan terbaik, pengukuhan jaringan kerjasama dan pembudayaan integriti dalam pengurusan sukan, khususnya menjelang Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah bersama Kerajaan Persekutuan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid DiRaja Datuk Dr Juanda Jaya, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Wan Muhammad Wan Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili, dan Timbalan Pengerusi UNIONS, Bangdur Danai.