KUCHING: Slovakia bersedia meneroka kerjasama dengan Sarawak dalam bidang pengurusan air, banjir, sisa dan teknologi alam sekitar, selain penyelesaian kecerdasan buatan (AI).
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Duta Besar Republik Slovakia ke Malaysia, Peter Spisiak, kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Peter berkata, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam bidang pengurusan jalan raya yang mempunyai ruang untuk diteroka bersama.
“Kami mempunyai beberapa syarikat di Slovakia yang boleh bekerjasama dengan Sarawak dalam bidang-bidang tersebut.
“Antara langkah susulan yang dicadangkan ialah penganjuran sesi pembentangan secara dalam talian melibatkan syarikat Slovakia dan komuniti perniagaan di Sarawak.
“Sesi berkenaan akan memberi peluang kepada syarikat Slovakia memperkenalkan kepakaran serta penyelesaian teknologi yang boleh disesuaikan dengan keperluan Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan itu.
Usaha itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Sarawak Business Federation (SBF), selain kementerian dan jabatan tertentu Kerajaan Sarawak.
Kerjasama berkenaan turut merangkumi bidang kitar semula yang dilihat mempunyai potensi untuk diterokai menerusi perkongsian kepakaran dan teknologi.
Dalam pada itu, perbincangan tersebut turut membuka ruang kepada hubungan perniagaan yang lebih erat antara syarikat Slovakia dengan sektor swasta di Sarawak.
Sesi pembentangan berkenaan dijangka menjadi platform awal untuk mengenal pasti bidang kepakaran dan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan negeri.
Pertemuan itu sekali gus memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama berasaskan teknologi dan kepakaran dalam beberapa sektor berkepentingan awam serta pembangunan Sarawak.




