KUCHING: Sebanyak 1,500 baucar barangan dapur bernilai RM30 setiap satu disediakan kepada warga emas menerusi Program Baucar Barangan Dapur Warga Emas MBKS 2026 yang dilaksanakan di lima pasar di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, turun padang seawal 6.00 pagi dengan mengunjungi kesemua lima pasar bagi memantau proses penebusan dan memastikan urusan warga emas berjalan lancar.
Menurutnya, program itu merupakan antara usaha MBKS menjaga kebajikan warga emas serta membangunkan Kuching Selatan sebagai bandar mesra usia.
“Pemilihan pasar sebagai lokasi penebusan turut memberi manfaat kepada penjaja dan peniaga kecil tempatan menerusi peningkatan aktiviti perniagaan.
“Pasar adalah sebahagian daripada kejiranan dan kehidupan harian kita. Kita mahu program ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, perbelanjaan menggunakan baucar itu secara tidak langsung disalurkan semula kepada komuniti setempat selain menggalakkan orang ramai terus menyokong peniaga tempatan.

Sepanjang lawatan ke lima pasar berkenaan, Wee turut berinteraksi dengan warga emas dan penjaja bagi mendapatkan maklum balas mengenai pelaksanaan program serta memastikan tiada kesulitan sepanjang proses penebusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga emas atas sokongan yang diberikan, selain kepada penjaja, ahli majlis dan kakitangan MBKS yang membantu menjayakan proses pendaftaran serta penebusan.
Katanya, maklum balas yang diterima akan dijadikan panduan bagi menambah baik program seumpama itu pada masa akan datang dalam usaha menjadikan Kuching Selatan sebuah bandar yang prihatin dan inklusif untuk semua peringkat usia.
Untuk rekod, program bersempena Festival Kuih Bulan itu melibatkan Pasar Petanak, Pasar Komuniti Stutong, Pasar Bintawa, Pasar Sungai Apong dan Pasar Kenyalang.
Baucar barangan dapur berkenaan boleh ditebus oleh warga emas berusia 58 tahun ke atas yang menetap dalam kawasan pentadbiran Kuching Selatan bagi pembelian barangan dapur, hasil segar dan keperluan harian daripada peniaga yang mengambil bahagian.
Kuching Selatan menyertai Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Usia Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Oktober 2024, dengan MBKS terus memperkenalkan program yang menggalakkan warga emas kekal aktif dan terlibat dalam komuniti.





