Goh gesa bidang kuasa agensi diperjelas dalam tangani aduan penduduk

Facebook
WhatsApp
GOH meninjau keadaan jalan yang rosak.

KUCHING: Cr Gerald Goh menggesa supaya bidang kuasa serta tanggungjawab antara agensi tempatan dan jabatan kerajaan diperjelaskan bagi memastikan setiap aduan penduduk dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, tindakan terhadap sesuatu aduan tidak seharusnya ditentukan sebelum fakta sebenar dikenal pasti dan keadaan di lokasi diteliti.

“Laporan penduduk boleh berupa maklum balas yang memerlukan penjelasan atau aduan yang memerlukan tindakan pembaikan. Agensi berkaitan perlu memberikan maklum balas dengan segera.

“Bagaimanapun, tanggungjawab dan tindakan yang perlu diambil hanya patut ditetapkan selepas fakta berkaitan diteliti di tapak,” katanya.

Menurut Goh, tanggungjawab pihak berkuasa tempatan lazimnya meliputi penyelenggaraan dan pengurusan jalan raya, sistem perparitan serta kemudahan awam dalam kawasan pentadbiran masing-masing, tertakluk kepada bidang kuasa, peruntukan dan piawaian teknikal.

“Jika kerja pembaikan itu berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, tindakan sewajarnya perlu diambil. Namun, terdapat juga tempoh masa tertentu yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut,” katanya.

Beliau berkata, bagi isu yang melibatkan penggunaan tanah, kerja penambakan atau kelulusan berkaitan tanah, punca sebenar sesuatu kerosakan perlu dikenal pasti terlebih dahulu walaupun masalah yang dilaporkan berkaitan dengan jalan raya.

Katanya, penyelarasan antara agensi penting bagi memastikan tindakan yang diambil bukan sahaja menyelesaikan masalah, tetapi turut mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap puncanya.

“Agensi berkaitan perlu menyelaras tindakan, memastikan keselamatan awam, mematuhi prosedur perolehan serta memaklumkan perkembangan kepada penduduk,” katanya.

Goh berkata, sekiranya kerosakan jalan berpunca daripada kerja penambakan tanah secara haram, pihak berkuasa tempatan perlu menjalankan siasatan bagi menentukan punca serta pihak yang bertanggungjawab.

“Pihak yang bertanggungjawab sepatutnya menanggung kos membaiki kerosakan tersebut, bukannya menggunakan wang pembayar cukai,” katanya.

Dalam pada itu, Goh menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan masalah yang dihadapi penduduk, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian.

“Perbezaan politik adalah perkara biasa. Tetapi kebimbangan penduduk tidak seharusnya dijadikan alat untuk meraih keuntungan politik. Penduduk mahukan penyelesaian, bukan permainan politik,” katanya.

Oleh Connie Chieng