KUCHING: Seorang pesara menolak tawaran Maybank sebanyak RM9,799.99 sebagai penyelesaian penuh dan muktamad selepas kehilangan RM48,999.99 menerusi lima transaksi tanpa kebenaran daripada akaunnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen, berkata mangsa yang hanya dikenali sebagai Encik Lo kehilangan wang berkenaan antara 2 dan 3 Ogos lalu tanpa pengetahuannya.
Menurut beliau, lima transaksi berkenaan melibatkan RM3,000 melalui FPX pada 12.12 tengah hari, 2 Ogos; RM3,000 ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 12.18 tengah hari; RM3,000 kepada RYT Bank melalui FPX pada 12.31 tengah hari; RM999.99 kepada seorang individu bernama Joanne Johan pada 12.35 tengah hari dan RM39,000 ke akaun Alliance Bank pada 3.12 pagi, 3 Ogos.
Chong berkata, Lo hanya menyedari kehilangan wang tersebut selepas pergi ke bank pada pagi 3 Ogos.
“Encik Lo kehilangan RM48,999.99 daripada akaun Maybank walaupun beliau tidak melakukan sebarang kesalahan. Kini, Maybank menawarkan RM9,799.99 kepadanya dengan syarat beliau menggugurkan tuntutannya terhadap bank.
“Ini tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak bank dimaklumkan mengenai transaksi tanpa kebenaran itu dalam tempoh 24 jam selepas kejadian, manakala transaksi terakhir berjumlah RM39,000 dilaporkan kurang daripada tujuh jam selepas ia berlaku.
“Walaupun bank dimaklumkan mengenai transaksi tanpa kebenaran itu dalam tempoh 24 jam, dan transaksi terakhir dilaporkan kurang daripada tujuh jam selepas ia berlaku, bank mendakwa ia tidak dapat menyekat transaksi berkenaan.
“Bank juga dikatakan tidak mempunyai mekanisme tempoh bertenang bagi akaun dan transaksi Maybank,” katanya.
Menurut Chong, sekiranya Maybank melaksanakan tempoh bertenang seperti yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia pada 2022, transaksi berkenaan berkemungkinan dapat disekat dan kerugian Lo dapat dielakkan.
Beliau berkata, susulan campur tangannya dalam kes itu, Maybank minggu lalu menawarkan RM9,799.99, bersamaan 20 peratus daripada jumlah kerugian, sebagai penyelesaian penuh dan muktamad.
“Encik Lo ialah seorang pesara. RM48,999 merupakan wang simpanan hasil titik peluhnya.
“Bagi Maybank, jumlah itu mungkin tidak besar, tetapi bagi Encik Lo, ia amat besar dan memberi kesan serius kepadanya,” katanya.
Chong berkata, Lo tetap dengan pendiriannya untuk menolak tawaran berkenaan kerana jumlah tersebut hanya meliputi 20 peratus daripada keseluruhan kerugiannya.
Beliau turut menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan, termasuk meneliti sistem Maybank serta bank-bank penerima yang terlibat dalam transaksi tersebut.
Pada masa sama, Chong menggesa agar keseluruhan jumlah kerugian Lo dibayar balik dan berkata beliau akan terus mengikuti perkembangan kes berkenaan bagi membantu pesara tersebut.
Oleh Connie Chieng




