BETONG: Mahkota bukan sekadar lambang pencapaian, sebaliknya menjadi platform untuk memberi manfaat kepada masyarakat apabila Mrs National World Malaysia 2026, Lydia Desmond, tampil memperkasa wanita menerusi kemahiran kraf tangan dan pemeliharaan warisan budaya.
Usaha itu diterjemahkan menerusi Bengkel Pembuatan Kuas Iban Balau yang berlangsung selama tiga hari yang berakhir hari ini di Premis Jawatankuasa Agrokraf Borneo Betong.
Program berkenaan merupakan kerjasama antara Lydia, The Ranee of Sarawak, Datin Rosemary Wong Jabu dan Kuas By Julia James (KBJJ).

Menurut Lydia, penglibatannya dalam bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menggunakan platform yang dimilikinya bagi memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan wanita di Betong.
Katanya, bengkel itu bukan sekadar mengajar kemahiran menghasilkan kraf tangan tradisional, malah membuka ruang kepada peserta membina keyakinan diri, mempelajari kemahiran baharu dan meneroka peluang menjana pendapatan.
“Tujuan saya jelas, untuk mengangkat wanita yang pernah melalui keadaan sukar dan memperkasa mereka supaya berani melangkah keluar daripada zon selesa, membina semula keyakinan diri serta mewujudkan peluang untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Lydia berkata, wanita mampu menjadi tonggak penting kepada keluarga sekiranya diberikan peluang, pengetahuan, sokongan dan galakan yang sewajarnya.

Menurutnya, penglibatan dalam pembelajaran kemahiran baharu, penghasilan kraf tangan serta promosi kraf dan pakaian tradisional mampu membantu wanita membina sumber pendapatan sendiri, selain menyumbang kepada kesejahteraan keluarga.
Beliau berkata, antara perkara paling bermakna sepanjang penglibatannya ialah melihat perubahan keyakinan dalam kalangan peserta apabila mereka mula menyedari masih terdapat peluang untuk memperbaiki kehidupan dan menyokong keluarga.
“Apa yang paling menyentuh hati saya ialah melihat senyuman mereka apabila mereka mula menyedari bahawa masih ada harapan untuk memperbaiki kehidupan, menyokong keluarga dan kembali percaya kepada diri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Lydia turut mengetengahkan keunikan Baju Kuas Iban Balau yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada identiti dan warisan masyarakat Iban Balau.
Menurut beliau, Baju Kuas berasal daripada komuniti Iban Balau di Pantu, Simanggang, Banting dan Undop, Sri Aman, serta merupakan sebahagian daripada Ngepan Iban Balau.
Secara tradisional, Baju Kuas dihasilkan menggunakan kain baldu hitam dan dikenali menerusi sulaman tangan yang halus, termasuk penggunaan benang emas asli serta corak berwarna dalam penghasilan moden.
Lydia berkata, motif sulaman mendapat inspirasi daripada unsur alam seperti ranting, daun pakis dan flora yang dipindahkan dengan teliti ke atas kain sebelum disulam satu demi satu.

Proses tersebut menghasilkan corak dengan kesan tiga dimensi yang memperlihatkan ketelitian serta kemahiran tinggi pembuatnya.
Menurutnya, keistimewaan Baju Kuas bukan hanya terletak pada keindahan hasil akhir, tetapi turut mencerminkan kemahiran sulaman tradisional yang memerlukan kesabaran, ketelitian dan pengetahuan yang diwarisi secara turun-temurun.
“Setiap jahitan membawa cerita. Setiap benang emas membawa warisan.
“Baju Kuas bukan sekadar pakaian tradisional, ia adalah identiti, seni dan warisan hidup masyarakat Iban Balau,” katanya lagi.
Lydia turut menegaskan bahawa penggunaan benang emas merupakan antara kemahiran mencabar yang perlu terus dipelihara menerusi bengkel kemahiran dan usaha pendokumentasian.
Menurutnya, pengalaman membina jaringan, persahabatan dan kerjasama dengan komuniti turut memberikan pengajaran penting mengenai makna sebenar sesuatu gelaran.
Katanya, nilai sesuatu gelaran bukan semata-mata terletak pada status yang dibawa, tetapi bagaimana platform tersebut dimanfaatkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
“Bukan gelaran yang kita sandang yang paling penting, tetapi tujuan yang kita berikan kepada gelaran tersebut.
“Mahkota mungkin melambangkan satu pencapaian, tetapi tujuan yang bermakna memberikan nilai kepada pencapaian itu,” katanya.
Sehubungan itu, Lydia berharap dapat terus menggunakan platform Mrs National World Malaysia 2026 bagi menyokong pemerkasaan wanita, memelihara warisan Iban Balau, membantu penggiat kraf tangan tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada komuniti.
Beliau berkata, usaha memperkasa wanita dan memelihara warisan budaya perlu bergerak seiring supaya kemahiran tradisional terus relevan, selain membuka ruang kepada generasi baharu untuk mempelajarinya.
“Apabila seorang wanita diperkasa, dia bukan sahaja mampu mengubah kehidupannya sendiri, malah berupaya mengubah masa depan keluarganya dan memberi inspirasi kepada komuniti di sekelilingnya,” katanya.
Usaha meneruskan penghasilan serta pendokumentasian Baju Kuas Iban Balau dilihat penting bagi memastikan seni sulaman tradisional, termasuk teknik penggunaan benang emas, terus dipelajari, dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman





