KUALA LUMPUR: Anak syarikat 90 peratus milik Carimin Petroleum Bhd, Sri Borneo Energy Sdn Bhd bercadang untuk membeli tanah pegangan pajakan dan bangunan di Sarawak daripada Sarwaja Timur Sdn Bhd dengan nilai RM21.12 juta.
Menurut Carimin Petroleum dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikatnya telah memeterai perjanjian jual beli dengan Sarwaja pada 14 September 2026.
Pembelian itu meliputi pengaktifan semula perniagaan galvanisasi dan fabrikasi logam, dengan memanfaatkan rekod prestasi dan pengiktirafan pelanggan terhadap kilang berkenaan sebelum ini.
“Sri Borneo Energy akan mengembangkan perniagaannya kepada lebih banyak industri dan segmen pasaran untuk pertumbuhan masa depan,” menurutnya, sambil menambah tahap kadar hutang Carimin Petroleum dijangka meningkat daripada 0.12 kali kepada 0.21 kali bergantung pada gabungan pembiayaan akhir. – Bernama



