AICHI: Atlet e-sukan negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira menghadiahkan pingat emas kedua buat Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mengungguli saingan Gran Turismo 7 (GT7) di Aichi Sky Expo di sini hari ini.
Pelumba berusia 27 tahun itu tenang mempamerkan pemanduan penuh disiplin sepanjang tiga perlumbaan sebelum mengesahkan kejuaraan dengan mengumpul keseluruhan 36 mata.
Beliau mengekalkan fokus untuk mengumpul mata penting pada setiap perlumbaan dengan menamatkan perlumbaan pertama dan kedua di tempat kedua sebelum bangkit meraih petak pertama pada perlumbaan terakhir.
Kejayaan itu menyaksikan Izrin Aiman menampilkan kebangkitan pada perlumbaan terakhir untuk memastikan kutipan mata keseluruhan yang mencukupi bagi mengesahkan kejuaraan.
Pingat emas tersebut merupakan emas kedua kontinjen negara setakat ini selepas kejayaan menerusi atlet karate wanita negara, Adeola Fay Robert, semalam
Kem e-sukan negara berpeluang untuk menambah kilauan pingat selepas Malaysia mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir acara e-football petang ini.
Malaysia dijadual menentang Uzbekistan dalam pusingan itu.
Sementara aksi final akan berlangsung pada malam ini. – Bernama





