SHAH ALAM: Polis menumpaskan aktiviti pengedaran bunga ganja bernilai RM33.4 juta dengan penahanan 12 individu disyaki keldai dadah, termasuk seorang runner menerusi serbuan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Sepang.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata serbuan antara 28 Ogos hingga 21 September itu melibatkan tangkapan terhadap seorang lelaki warga tempatan serta empat lelaki dan tujuh wanita warganegara asing dan merampas 671 bungkusan dadah jenis bunga ganja seberat 418 kilogram.
“Keldai dadah ini dijanjikan dengan tawaran kerja serta pakej pelancongan dari negara asal mereka dan apabila sampai di sini dikehendaki membawa balik bagasi yang jelas bukan milikan mereka dan (dalam) bagasi tersebut dadah itu disembunyikan.
“Manakala suspek warga tempatan terbabit dipercayai sebagai runner yang berperanan membekalkan dadah kepada keldai dadah. Kita juga percaya dia terlibat dalam jenayah ini sejak awal 2026, dan kesemua suspek merupakan daripada sindiket berasingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di sini hari ini.
Shazeli berkata operasi berkenaan turut melibatkan tindakan sitaan berjumlah RM37,700 membabitkan dua kereta dan mata wang asing daripada suspek yang terlibat.
“Setakat ini, enam suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan enam suspek lagi masih dalam tempoh siasatan.
“Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau di Malaysia. Semakan dokumen perjalanan bagi kesemua suspek warganegara asing menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini,” katanya. – Bernama




